Belum boleh letak harapan

Kuala Lumpur: Belum boleh letak harapan Lee Zii Jia mampu menamatkan kemarau emas Sukan Olimpik badminton mahupun negara. Itu pandangan dilontarkan bekas perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim.

Menurutnya, bukan tidak yakin dengan kemampuan Zii Jia yang baru dinobatkan selaku juara Seluruh England, namun semua itu di atas dirinya sendiri dan beberapa lagi faktor lain.

“Kalau kita tengok sekarang semua meletakkan harapan seperti itu (emas Olimpik) tapi bagi saya belum lagi. Tidak boleh letak lagi harapan seperti itu kerana agak payah kita hendak nilai dengan kejayaan dicatatkan.

“Kita berterus-terang, banyak pemain dari negara lain tidak menyertai Seluruh England tapi memang bagus buat dia kerana mengambil peluang terus menjadi juara. Itu sangat bagus buat dia dan menaikkan nama negara. Itu kita tidak pertikaikan tapi penyertaan dari wakil negara lain.

“Ramai yang cakap dia mengalahkan pemain nombor satu dunia (Kento Momota) dan nombor dua dunia (Viktor Axelsen) cuma kita perlu juga lihat dari segi faktor lain. Sukan Olimpik semua negara akan bertanding, dalam masa sama dia boleh kalah kepada Chou Tien Chen (Taiwan), dia masih belum menang dengan Anthony Ginting (Indonesia) dan dia mungkin boleh kalah dengan Ng Ka Long (Hong Kong),” katanya dihubungi Arena Metro, semalam.

Bagaimanapun, Roslin mengakui bahawa Zii Jia boleh diletakkan sebagai prospek untuk meraih pingat di Olimpik Tokyo.

“Prospek meraih pingat mungkin boleh, tapi emas masih belum lagi. Perkara ini kita tidak tahu apa akan jadi kepadannya, mungkin rezeki dia. Olimpik adalah pentas siapa saja boleh jadi juara. Banyak kejutan di temasya berkenaan, termasuk sukan lain,” katanya.

“Tidak boleh letak 100 peratus kerana dia juara Seluruh England, kejohanan itu memang berprestij tapi kena lihat siapa beraksi di situ. Seluruh England sama seperti kejohanan badminton lain cuma namanya nampak gah dan ada yang membandingkan seolah-olah seperti Olimpik,” kata bekas perseorangan lelaki nombor satu dunia itu.

Dalam masa sama Roslin memuji persembahan Zii Jia di Seluruh England terutama pada perlawanan akhir ketika mengalahkan Axelsen 30-29, 20-22, 21-9.