Benarkah Korea Utara masih bebas COVID-19?

Pakar dan pemerhati antarabangsa bagaimanapun tidak yakin Korea Utara masih bebas COVID-19. -AP Photo/Vincent Thian

PYONGYANG: Korea Utara mendakwa mereka masih bebas daripada wabak COVID-19.

Negara itu telah pun menutup sempadannya pada bulan Januari sebaik virus berkenaan mula dikesan di negara jiran mereka iaitu China, dan mengenakan langkah kawalan yang ketat.

Pak Myong Su, Pengarah Jabatan Kecemeasan Anti Wabak, menegaskan kesemua usaha yang telah dilakukan itu berjaya dan menampakkan hasil.

"Tidak seorang individu pun di sini telah dijangkiti virus itu setakat ini," kata Pak kepada AFP.

"Kami telah melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti pemeriksaan dan kuarantin terhadap semua yang memasuki negara ini dan melakukan proses pembasmian kuman, serta menutup sempadan dan menghalang jalan laut dan udara," tambahnya.

Pakar dan pemerhati antarabangsa bagaimanapun tidak yakin dengan kenyataan Pyongyang.

Mereka berpendapat Korea Utara sangat terdedah kepada virus itu kerana sistem penjagaan kesihatan yang lemah, dan menuduh Pyongyang cuba menutup cerita sebenar.

Panglima tentera AS di Korea Selatan, Jeneral Robert Abrams, bulan lalu berkata pasti terdapat kes positif jangkitan COVID-19 di negara pimpinan Kim Jong-un itu.

Korea Utara sebelum ini dilaporkan ada memohon bantuan antarabangsa berkaitan kelengkapan perubatan.

Pada Februari lalu, Kementerian Luar Negeri Rusia berkata mereka membekalkan Pyongyang dengan 1,500 kit ujian diagnostik COVID-19 atas permintaan Korea Utara sendiri.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga telah memberikan pengecualian sekatan kepada kumpulan pelarian termasuk untuk kelengkapan kemudahan perubatan seperti kit diagnostik, topeng muka, peralatan perlindungan dan pembasmian kuman.