Benci kucing sampai sanggup bunuh

PERASAAN benci terhadap kucing peliharaan jiran yang sering lalu dan berehat di halaman rumahnya menjadi punca lelaki warga emas menembak mati haiwan itu menggunakan pistol angin.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika berkata, kejadian berlaku di Kampung Pintu Geng, Kota Bharu, pada 17 Ogos lalu dan pihaknya menerima maklumat berhubung kes berkenaan, semalam.

Arie berkata, berdasarkan maklumat awal diterima, pelaku adalah pesara berusia 70 tahun dan dipercayai jiran terdekat pemilik kucing berkenaan.

“Ia kali kedua kucing peliharaan pemilik berkenaan menjadi mangsa.

“Kejadian kali pertama pada 1 Ogos lalu dan pembunuhan itu disyaki dilakukan kerana pelaku tidak senang dengan kehadiran kucing peliharaan jirannya.

“Kami masih menunggu laporan rasmi pemilik kucing kepada pihak berkuasa supaya tindakan susulan dapat diambil terhadap pelaku yang zalim itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Arie berkata, pembunuhan kucing secara tembakan pistol angin bukan pertama kali dilaporkan kerana beberapa kes sama pernah dilaporkan sebelum ini.

Katanya, pistol angin adalah senjata dikategorikan berbahaya dan mampu membunuh manusia terutama kanak-kanak jika disalah guna, apatah lagi jika digunakan untuk tujuan sama terhadap haiwan dengan sengaja,.