Berguru di Sepanyol

Kuala Lumpur: Jangan terkejut satu hari nanti pemain Malaysia bakal membanjiri liga utama di Eropah sekali gus memantapkan lagi persembahan pasukan kebangsaan.

Terkini, giliran dua beradik berjaya menempatkan diri di akademi The Next Generation Sports (TNGS) yang berpangkalan di Valencia, Sepanyol sekali gus mengikut jejak beberapa pemain lain sebelum ini.

Menurut Shahruddin Mat Dali, anaknya, Anas Nadawi, 16, berjaya menyertai akademi terbabit bersama abangnya, Amar Makruf, 18, dan akan menjalani latihan di sana selama beberapa bulan dan berpeluang menyertai mana-mana pasukan bawah 19 tahun di liga divisyen 2 dan 4 di Valencia, Sepanyol sekiranya dipilih oleh pencari bakat di sana.

Katanya, Anas dan Ammar terpilih daripada 30 pemain yang diambil dari seluruh dunia bagi setiap sesi pengambilan.

“Anas dan Ammar berjaya terpilih ke akademi ini dan akan menjalani latihan di sana selama tiga hingga tujuh bulan. Jika ada rezeki, mereka berdua mungkin berpeluang menyertai pasukan divisyen 2, 3 atau 4 di Sepanyol.

“TNGS ikuti YouTube Amar sejak anaknya itu hubungi TNGS melalui Instagram pada bulan Januari lalu. Kemudian pada bulan April, TNGS hubungi saya menerusi Zoom untuk berbincang perancangan untuk Amar dan Anas. Jadi TNGS sekarang mewakili Amar dan Anas untuk pembangunan di Valencia,” kata Shahruddin.

Sebelum ini, Anas adalah salah seorang peserta yang mewakili Malaysia ke Yakult Asean Dream Project (ADP) 2019 dan berpeluang menjalani latihan bersama kelab Cerezo Osaka di Jepun.

Kejayaan Anas menyertai TNGS ini turut mendapat pujian daripada Presiden Kelab Cerezo Osaka, Hiroaki Morishima yang mengucapkan tahniah atas kejayaan anak muda Malaysia itu.

“Tahniah Anas! Kami di Jepun teruja mengikuti perkembangan Anas. Kami turut menantikan kehadiran Anas di Liga Jepun dan bermain untuk pasukan Cerezo Osaka satu hari nanti. Teruskan usaha dan selamat maju jaya” katanya.

Untuk rekod, hampir sembilan pemain muda negara berjaya menerima kontrak profesional dan diterima masuk beraksi bersama akademi serta pasukan pembangunan di beberapa negara di Eropah.

Antaranya Aqil Arazi Aziz yang menyertai kelab divisyen lima Perancis, AS Cannes selain Muhammad Diniz Irwan yang kini beraksi buat pasukan kedua, Eddersheim FC dalam divisyen lima liga Jerman dan Omar Raiyan Kama Azlan dengan kelab Red Star Belgrade, Serbia.

Manakala empat lagi pemain iaitu Allee Putra Azril, Aniq Asri Nasharudin Elias, M Devekumaran dan Ahmad Mubashshir Azizi terpilih menyertai FC Malaga City, Sepanyol.