Berharap anak ditemui, sekalipun jasadnya tak dapat dibawa pulang

“LIMA tahun mak cik menunggu kepulangan Nik Hafizi yang bekerja di Australia demi mencari rezeki. Sepatutnya dia pulang ke tanah air September ini.

“Namun, kami sekeluarga dikejutkan dengan kejadian Nik Hafizi terjatuh dan dibawa arus (laut),” kata Rosidah Abdul Manaf, 54.

Rosidah adalah ibu kepada Nik Hafizi Nik Long, 25, yang tergelincir sebelum hilang dibawa arus di Little Beach, New South Wales, Australia, kelmarin.

Dalam kejadian 2 petang waktu tempatan, Nik Hafizi yang bekerja sebagai buruh sejak lima tahun lalu di negara berkenaan, dikatakan bersama lima sepupunya ke lokasi itu untuk memancing sebelum tragedi menimpa mangsa.

Rosidah berkata, hanya Allah SWT sahaja tahu perasaannya selepas dimaklumkan kejadian menimpa anak kelima daripada lapan beradik itu.

“Sehingga kini, jasad anak mak cik masih belum ditemui dan operasi mencari masih dijalankan. Hampir setiap jam, anak saudara yang berada di lokasi kejadian memaklumkan perkembangan kepada kami di sini.

“Besar harapan mak cik supaya jasad Nik Hafizi ditemui walaupun sudah tidak bernyawa. Mak cik terlalu merinduinya kerana selama lima tahun, kami hanya berhubung menerusi panggilan video.

“Kali terakhir mak cik berhubung dengan Nik Hafizi pada 20 Ogos lalu dan setiap kali berhubung, Nik Hafizi tidak pernah lupa bertanyakan khabar mak cik dan sering berpesan supaya menjaga adiknya dengan baik,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Beliau berkata, walaupun hasrat untuk menyentuh jasad anaknya buat kali terakhir mungkin tidak kesampaian kerana sukar untuk dibawa pulang, sekurang-kurangnya dia mahu melihat jasad Nik Hafizi ditemui.

“Mak cik reda andai katanya jenazahnya tidak mampu dibawa pulang, namun melihat jasadnya ditemui sudah memadai buat mak cik.

“Sejak kelmarin, kami sekeluarga membawa surah Yassin memohon pencarian dipermudahkan.

“Nik Hafizi seorang anak yang baik dan rajin bekerja. Setiap bulan dia tidak pernah lupa untuk mengirimkan wang kepada mak cik,” katanya.