Berkarya tiada batasan

SINGLE Boneka nyanyian penyanyi terkenal, Ernie Zakri yang dilancarkan sejak 24 Julai lalu mencecah tontonan lebih 750,000 di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Lebih membanggakan apabila video muzik (MV) itu masih kekal di carta Top 10 trending.

Malah, MV yang dianggap unik itu turut menjadi perhatian dan ulasan beberapa sensasi YouTube luar negara.

Menurut Ernie, 28, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, idea asal menghasilkan MV itu daripada dirinya dan direalisasikan oleh beberapa pihak.

“Idea asal MV ini daripada saya sebab saya nak sesuatu yang baharu. Jadi, saya bercerita pada Abu dan dia mula mencari konsep sesuai. Bagi saya, biar orang tengok pelik, tapi akan diterima dan saya nak ia diperkatakan.

“Lagi pula, saya tak nak hadkan pemakaian hijab ini. Jangan letakkan tudung sebagai halangan untuk tampil kreatif. Dalam erti kata lain, hijab bukan batasan untuk berkarya.

“Macam dalam MV ini, saya tidak kisah nak buat apa-apa atau fesyen macam mana, asal saja tutup aurat. Jadi, pereka fesyen turut bertindak selaku pengarah dalam MV ini,” katanya.

Menurut Ernie yang sebelum ini muncul dengan single Gundah berkata, pada awalnya dia gementar dengan maklum balas yang bakal diterima.

PENAMPILAN pertama Ernie dengan berhijab dalam video muzik.
PENAMPILAN pertama Ernie dengan berhijab dalam video muzik.

Namun, dia berfikiran ini waktu untuk dia muncul dengan sesuatu yang unik.

“Diakui pada mulanya gementar juga, tapi ia tidak boleh halang saya berkarya. Saya fikir, kalau tak mula sekarang bila lagi nak buat.

“MV ini juga untuk diri sendiri supaya lebih maju. Lagi pula, kalau terlalu difikirkan apa orang punya komen dan kritikan, sampai bila-bila saya takkan buat. Kenapa kita perlu berhenti disebabkan orang tak suka?” katanya.

Dalam masa sama, Ernie berkata, setiap orang berhak memberikan pandangan mereka.

“Setiap apa kita hasilkan pasti ada perspektif berbeza. Ia pendapat dan mata masing-masing berdasarkan apa yang mereka fikirkan. Kalau ikutkan seni itu besar. Dalam seni juga tak ada betul atau salah. Seni mengenai ekspresi kita.

“Saya terima semua pendapat dengan positif. Tak kisah dan tidak mengapa jika ada tidak suka. Saya tak boleh paksa semua suka. Saya sendiri pun ada tak suka MV lain, tapi ada orang lain suka.

“Cuma dalam MV ini, apa saya perasan ramai yang tegur penampilan dan gaya tudung saja, tapi tak ada tegur aurat saya. Setiap babak dalam MV ini saya akan periksa dan buat permintaan jika ada yang tak kena. Bukan apa, ini penampilan sulung saya berhijab dalam MV. Jadi, saya tidak mahu ada isu berbangkit terutama dari segi aurat.

“Boleh dikatakan banyak kali juga proses suntingan dibuat. Saya kena menjaga dan tutup semuanya secara ‘proper’ ditambah pula kain yang dipakai jenis melekap di badan. Jadi, ada bahagian yang patut ditutup. Sebab itu, kalau perasan kebanyakan ‘shot’ hanya paras pinggang,” katanya.

ERNIE akui Syamel mempunyai ciri-ciri suami idamannya.
ERNIE akui Syamel mempunyai ciri-ciri suami idamannya.

Terbuka soal kahwin

Bercakap soal hubungan dan perkahwinan, Ernie yang kerap digosipkan dengan rakan duetnya, Syamel mengakui sudah bersedia untuk berumah tangga.

Malah, Ernie mengakui penyanyi lagu Lebih Sempurna itu mempunyai ciri-ciri suami idamannya.

“Setakat ini calonnya adalah seperti yang anda semua sudah dengar. Jadi, doakan semoga semuanya dipermudahkan.

“Dia ada ciri-ciri suami idaman saya, cuma kami belum mengenali satu sama lain dengan cukup mendalam. Yang pasti ciri-ciri utama adalah dia menghormati ibu bapa saya,” katanya.

Hubungan Ernie dan Syamel dikatakan mulai serius selepas kedua-duanya terbabit dalam program realiti Duo Star dan berduet dalam lagu Aku Cinta.

“Doakan semoga saya dapat menamatkan zaman bujang menjelang tahun depan kerana tahun depan usia saya sudah 29 tahun,” katanya.