Berkerusi roda tak halang Azamirudin cari rezeki [METROTV]

Kuala Lumpur: Dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) Cerebral Palsy (CP) bukan alasan untuk Muhammad Azamirudin Ismail mengharap belas ihsan dan bantuan individu sekelilingnya semata-mata.

Sebaliknya, Muhammad Azamirudin, 27, yang menetap di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani itu lebih selesa berdikari, malah mencari rezeki sendiri sejak berusia 15 tahun lagi.

Dia yang mendapat pendidikan di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) bermula dengan menjual ikan laga secara kecil-kecilan.

Tiga tahun kemudian pada 2018, Muhammad Azamirudin menambah barangan jualan dengan menjual pelbagai jenis kasut di tapak niaga berdekatan kawasan perumahan.

“Kecacatan dialami memaksa saya bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda untuk bergerak.

“Ketika berusia 10 tahun, saya dihantar ke PPDK bagi mengikuti latihan fisioterapi dan mempelajari cara pengurusan dengan bimbingan guru di situ yang juga banyak memberi dorongan kepada saya di samping keluarga.

“Galakan itu memberi keberanian untuk saya berdikari dengan cuba berniaga secara kecil-kecilan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp.

Muhammad Azamirudin berkata, dia tidak bersendirian kerana ada kalanya dibantu rakan dan ahli keluarga.

Katanya, pada hari Ahad dan Rabu, dia berniaga di tapak pasar malam Bandar Puteri Jaya.

Muhammad Azamirudin menjalankan perniagaan ikan laga di Medan Pasar Pagi, Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani. Foto Amran Hamid
Muhammad Azamirudin menjalankan perniagaan ikan laga di Medan Pasar Pagi, Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani. Foto Amran Hamid

“Hari Jumaat hingga Ahad, saya berniaga di medan Pasar Pagi Bandar Puteri Jaya dengan dibantu ahli keluarga, rakan dan kenalan.

“Apabila tibanya Ramadan, saya menjual buah kurma pelbagai jenis di bazar namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun ini, saya ubah kaedah niaga dengan membuat jualan secara dalam talian bagi mengelak risiko di tempat awam.

“Selain ikan laga ,saya turut menjual minyak wangi bagi menambah pendapatan,” katanya yang turut menerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Muhammad Azamirudin berkata, pengalaman manisnya adalah apabila perniagaannya mendapat sambutan daripada pelanggan

“Bukan mudah untuk OKU menonjolkan diri kepada masyarakat kerana ada kekangan dan perkara membataskan pergerakan saya.

“Saya dapat kekuatan daripada pelanggan yang rata-ratanya memberi kata semangat ketika ditemui, malah banyak membantu saya melariskan jualan.

“Berniaga ini seperti laut, ada pasang surutnya tetapi cabaran itu tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus berusaha,” katanya.

Berkongsi hala tujunya, Muhammad Azamirudin berkata, dia berazam membuka premis perniagaan sendiri satu hari nanti.

“Saya ada menyimpan sebahagian keuntungan hasil jualan kerana mahu menggunakan wang itu kelak bagi mengembangkan perniagaan.

“Jika ada rezeki, saya mahu ada kedai sendiri dan terima kasih kepada keluarga, rakan dan guru yang banyak memberi nasihat serta dorongan sehingga berada di tahap sekarang.

“Kepada rakan OKU yang lain, teruslah berusaha untuk berdikari dan gunakan segala kebolehan atau kepakaran yang ada di dalam diri bagi mencapai impian dengan memanfaatkan insentif diberikan kerajaan,” katanya.