Berkorban jaga sepupu obes, berat cecah 200kg

Segamat: Seorang remaja sanggup mengambil cuti berkerja tanpa gaji sejak awal tahun ini semata-mata mahu menjaga sepupunya yang terlantar akibat mengalami masalah berat badan berlebihan.

Nur Amirah Asyura Abd Latip, 19, berkorban menjaga Norazlina Ramli, 33, berikutan sepupunya itu tidak mampu bergerak kerana berat badannya mencecah 200 kilogram (kg).

Menurutnya, Norazlina menghadapi pertambahan berat badan luar biasa disebabkan masalah hormon, selain menghidap pelbagai penyakit antaranya darah tinggi.

Sejak kelmarin, katanya, Norazlina menerima rawatan di Hospital Segamat berikutan masalah pembuangan air kecil.

“Saya nekad mahu membantu sepupu walaupun mungkin tidak dapat lagi bekerja sebagai pembantu pengurusan barangan di sebuah syarikat penghantaran barangan secara kontrak dengan elaun RM30 sehari, saya reda jika diberhentikan.

“Sebelum ini, ibu saudara (Roslina Mahfoh, 46) turut membantu menjaga sepupu, namun tidak dapat memberi komitmen kerana mengambil upah menjaga anak jiran.

“Nenek (Aminah Kalop, 86) yang menjaga sepupu sejak kecil pula sudah tidak sihat akibat masalah urat saraf, sebab itu saya nekad mahu membantu menjaga sepupu sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di Hospital Segamat di sini, hari ini.

Difahamkan, Norazlina dipelihara Aminah sejak kecil berikutan masalah keluarga, selain ibu bapanya sudah berpisah.

Sementara itu, Roslina berkata, sebelum ini dia berulang-alik dari rumahnya di Paya Pulai ke kediaman Norazlina di Gemerih, Segamat sejauh 10 kilometer membantu menjaga anak saudaranya itu.

Katanya, dia menghargai pengorbanan Nur Amirah Asyura yang sanggup meluangkan sepenuh masa menjaga Norazlina dan dia juga memberi jaminan akan membantu jika ada masa terluang.

“Saya akan terus sama turut membantu,” katanya.

Ketika ini, Norazlina mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat sebanyak RM350 sebulan, selain bantuan RM300 daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Segamat.

Norazlina berkata, masalah berat badan yang dihadapinya semakin ketara sejak dia berusia belasan tahun walaupun mengamalkan pemakanan sihat.

“Sebelum ini doktor pernah menasihatkan menjalani pembedahan tetapi saya tidak berkemampuan.

“Pakar pemakanan menasihatkan supaya minum susu berkhasiat dan hanya makan buah, itu pun saya masih tidak mampu kerana kosnya agak tinggi,” katanya.