Berpunca daripada majlis kahwin di Ipoh, merebak ke Sabah

SERAMAI 14 petugas kesihatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah yang dijangkiti koronavirus baharu (Covid-19) dipercayai berpunca daripada majlis perkahwinan di Ipoh, Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama dilaporkan pada 27 Mac lalu dan ia bukan disebabkan pengendalian kes positif wabak itu di kemudahan kesihatan berkenaan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima laporan jangkitan dan penularan Covid-19 itu berlaku di Wad Melur hospital berkenaan membabitkan doktor serta jururawat.

“Memang ada kluster baharu dari hospital berkenaan dan siasatan mendapati mungkin punca jangkitan berasal daripada komuniti iaitu majlis perkahwinan.

“Kita dapati ada kehadiran di majlis berkenaan dan kemudian salah seorang balik ke hospital lalu menjangkiti rakan sekerja mereka,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, punca jangkitan di hospital pula berkemungkinan berlaku di pantri.

“Dalam siasatan kita juga, mungkin punca jangkitan bukan di wad tetapi di ruang yang sempit seperti di pantri. Mungkin mereka tengah makan atau sebagainya dan ada kesan jangkitan ketika itu,” katanya.

Menurutnya, tindakan sudah diambil iaitu mengasingkan 14 petugas kesihatan terbabit dan melakukan pengesanan kes aktif, termasuk mengenal pasti kontrak rapat mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19