Bersalin dalam kereta, ‘tersangkut’ dalam sekatan jalan raya

PESARA kerajaan mengharungi detik cemas apabila anak perempuannya terpaksa bersalin dalam kereta ketika dalam perjalanan ke Hospital Tawau di Tawau, Sabtu lalu.

Malah, dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, Abdul Asa Mohd Salleh, 65, bersama anaknya, Noziee Abdul Asa, 37, yang ditemani cucu, Aisha Maizela, 17, turut terperangkap lebih dua jam dalam kesesakan lalu-lintas akibat sekatan jalan raya (SJR) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Abdul Asa ketika dihubungi berkata, anaknya Noziee sedang menunggu hari dan dijangka bersalin anak keempat pada bila-bila masa.

“Ketika itu, dia (Norzie) mengadu sakit perut dan memaklumkan ia tanda-tanda awal bersalin sebelum kami bertiga bertolak dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Batu 8, yang terletak 14 kilometer dari Hospital Tawau.

“Apa yang bermain di fikiran adalah kesesakan lalu-lintas di sekitar SJR di Jalan Apas sebelum cuba mencari jalan alternatif dengan menggunakan laluan di Jalan Tiku. Bagaimanapun sekali lagi kami tersekat di SJR di Jalan Kuhara,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian mengarahkan Aisha Maizela menahan ambulans yang kebetulan melalui jalan sama dan memaklumkan keadaan Noziee kepada kakitangan perubatan.

“Bagaimanapun terdapat pesakit lain dalam ambulans itu namun kami dibenarkan mengekori pergerakan (ambulans) dari belakang bagi mempercepatkan perjalanan ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Noziee menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya berkongsi kegembiraan melahirkan bayi lelaki seberat 3.4 kilogram dalam kereta jenis Perodua Myvi milik ayahnya itu.

Menerusi hantaran itu, Noziee memanjatkan rasa syukur selepas proses bersalin dipermudahkan walaupun bayinya dimasukkan ke wad lain kerana mengalami masalah pernafasan, namun mereka berdua dalam keadaan stabil.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan