‘Bersama Hentikan Wabak Covid-19’

PERDANA MENTERI, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu untuk memperkasa usaha melawan wabak Covid-19 di negara ini.

Muhyiddin berkata, kempen berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat.

Katanya,rakyat perlu terus bekerjasama dengan kerajaan khususnya petugas kesihatan dan penguat kuasa undang-undang untuk memastikan norma baharu diamalkan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

“Usaha membudayakan norma baharu di kalangan rakyat adalah tugas dan tanggungjawab setiap daripada kita.

“Kementerian Kesihatan memberi penekanan terhadap pelaksanaan CAPP, iaitu ‘Cegah, Amal, Patuh dan Pantau’ kepada masyarakat dalam usaha memperkasakan Program Pengurangan Risiko Daerah (DRRP) COVID-19.

“Kempen CAPP ini adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri bagi mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti.

“Selain itu, aplikasi MySejahtera yang ringkas dan padat menjadi platform untuk memudahkan kita menangani wabak Covid-19. Setakat ini, seramai 6.5 juta pengguna sudah memuat turun aplikasi berkenaa. MySejahtera terbukti berkesan untuk menjejak kontak rapat pesakit Covid-19. Justeru saya menyeru supaya rakyat Malaysia untuk memuat turun dan memanfaatkan aplikasi ini dengan sebaik yang mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Pagoh, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Pengerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu; Menteri Komunikasi dan Multimedia,

Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba;

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

PENJARAKKAN fizikal  di dalam Dewan Kompleks Sukan Pagoh pada Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu. FOTO Mohd Yusni Ariffin
PENJARAKKAN fizikal di dalam Dewan Kompleks Sukan Pagoh pada Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Pada majlis itu juga,Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut melancarkan logo dan slogan (tagline) Kempen Pembudayaan Norma Baharu iaitu Bersama Hentikan Wabak Covid-19.

Logo dan slogan itu adalah hasil ciptaan Mohd Nor Fakihin Aqsa Mohd Nor Azam, juara Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline Kempen Pembudayaan Norma Baharu anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bermula 1 hingga 10 Julai 2020 lalu.

Pertandingan ini juga mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan 1,137 peserta dan 2,150 logo

yang diadili.

Muhyiddin juga melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang mengandungi pelbagai penerangan dan infografik sebagai panduan dan rujukan orang ramai yang kini berperanan sebagai petugas barisan hadapan dalam komuniti bagi mengekang penularan Covid-19.

Buku yang akan diterbitkan dalam pelbagai bahasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini juga boleh didapati dalam bentuk digital melalui imbasan kod QR dan http://www.infosihat.gov.my.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut melakukan penyerahan peruntukan RM100,000 untuk setiap negeri bagi pelaksanaan Program Pembudayaan Norma Baharu di peringkat negeri bagi memastikan kempen ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.