Bersepah di negara jiran

Kuala Lumpur: Berpuluh ribu tong gas petroleum cecair (LPG) subsidi dilaporkan ‘ghaib’ di Semenanjung Malaysia setiap tahun.

Siasatan dilakukan akhirnya menemui semua tong LPG itu berada di Tawau, Sabah dan menanti masa untuk seludup ke negara jiran Indonesia.

Kegiatan melarikan tong LPG subsidi itu, sekali gus membongkar isu ketirisan yang menyebabkan kerajaan menanggung kerugian hampir RM1.717 bilion dalam tempoh dua tahun akibat isu penyeludupan selain penggunaan silinder LPG bersubsidi oleh pengguna bukan daripada golongan sasar.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, kehilangan dan penyelewengan tong gas LPG subsidi itu dibongkar susulan aduan sebuah syarikat yang meminta bantuannya sebelum ini.

Menurutnya, hasil risikan dilakukan mendapati wujud ‘pihak’ yang mencuri tong LPG milik syarikat berkenaan dalam kuantiti besar sebelum dihantar menaiki kapal ke Tawau, Sabah.

“Di sana, tong LPG dicuri ini akan dicat semula dengan menggunakan logo syarikat yang mencurinya dan diisi semula gas. Tong LPG ini kemudian dijual untuk pasaran tempatan selain diseludup ke negara jiran.

“Kerana itulah syarikat terbabit (yang mencuri tong LPG ) tidak merasa khuatir jika tong LPG mereka berkurangan kerana tersadai di negara jiran selepas diseludup ke Pulau Sebatik atau Pulau Nunukan di Indonesia.

“Dalam masa sama, pihak yang melakukan jenayah ini dapat melipatgandakan keuntungan kerana tidak perlu mengeluarkan kos pembuatan tong LPG serta turut menuntut subsidi dari jualan isipadu gas dari kerajaan,” katanya.

Menurutnya, pihak yang melakukan jenayah itu memperoleh keuntungan tinggi hasil kegiatan haram berkenaan.

“Amat tidak munasabah sekiranya sekitar 3,000 isi rumah warga Malaysia di Pulau Sebatik menggunakan lebih 5,000 tong LPG setiap bulan.

“Di sinilah wujudnya isu integriti dan ketirisan subsidi yang dibayar kerajaan kepada syarikat pembekal, pengedar utama dan sub pengedar,” katanya.

Menurutnya, hasil penyamaran dilakukan mendapati tong gas LPG Malaysia ‘bersepah’ digunakan di negara jiran.

“Yang pasti kewujudan banyak jeti haram di Tawau, Sabah memudahkan sindiket menyeludup tong gas LPG subsidi ke negara jiran saban hari.

“Ini bukanlah perkara baharu berikutan kegiatan penyeludupan LPG subsidi dan barang kawalan lain sudah berlarutan sekian lama,” katanya.

Harian Metro semalam membongkar beribu tong LPG subsidi Malaysia diseludup ke negara jiran Indonesia sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan kegiatan aktif penyeludupan tong gas LPG memasak dari Malaysia masih sukar dikawal sepenuhnya berikutan faktor keluasan sempadan Sabah dan Sarawak berhampiran Indonesia serta Filipina.

Tong LPG Malaysia mudah ditemui di Pulau Nunukan dan Pulau Sebatik, Kalimantan Utara, bersempadan dengan Sabah selain pekan Aruk, Badau dan Temajuk, Kalimantan Barat yang bersempadan dengan Sarawak.

Walaupun kini harganya melonjak sehingga Rupiah 700,000 (RM200) satu tong LPG 14 kilogram namun ia masih tetap dibeli rakyat negara jiran itu,” katanya.

KPDNHEP kesan 134 kes penyelewengan LPG

SINDIKET mengecat semula tong gas LPG dicuri dari Semenanjung  sebelum dijual atau diseludup ke negara jiran.
SINDIKET mengecat semula tong gas LPG dicuri dari Semenanjung sebelum dijual atau diseludup ke negara jiran.

Kerjasama dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama syarikat minyak Petronas selain pembekal serta pemborong di Sabah bagi mengatasi isu penyelewengan dan lambakan tong gas petroleum cecair (LPG) subsidi Malaysia di negara jiran Indonesia.

Ketua Seksyen Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azizan Abdullah berkata, melalui program kerjasama ini, Petronas mengeluarkan LPG bersaiz 14 kilogram (kg) tidak bersubsidi berwarna ungu untuk dipasarkan di negara ini dan boleh dibeli oleh warga asing Indonesia.

Menurutnya, sejak Petronas mengedarkan LPG tidak bersubsidi atau komersial di negara Indonesia pada awal 2019, berlaku peningkatan jumlah tong LPG kosong yang dikembalikan oleh individu kepada pengeluar LPG secara pertukaran silinder gas.

“Berdasarkan laporan yang disediakan oleh KPDNHEP Tawau, Sabah didapati jumlah silinder LPG kosong yang dikembalikan ke pasaran Malaysia sejak 2017 hingga 2018 adalah sebanyak 12,360 silinder.

“Turut berlaku peningkatan terhadap bilangan silinder LPG kosong yang dikembalikan ke pasaran Malaysia iaitu sebanyak 10,874 silinder pada 2019 diikuti 14,176 silinder LPG sehingga November 2020.

“Ini menjadikan keseluruhan silinder atau tong LPG kosong milik syarikat minyak Malaysia yang dikembalikan ke pasaran negara dalam tempoh empat tahun adalah sebanyak 37,410 tong,” katanya.

Azizan menambah, program yang dilaksanakan itu jelas menunjukkan keberkesanan tindakan diambil oleh KPDNHEP dalam menangani isu lambakan tong LPG kosong milik syarikat minyak
di Malaysia.

“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan
isu penyeludupan LPG bersubsidi dan meningkatkan pendapatan negara melalui jualan LPG tidak bersubsidi di negara luar.

Beliau berkata, pelaksanaan operasi Ops Benteng susulan pandemik Covid-19 bagi mengawal dan menjejaki pergerakan keluar masuk warga asing turut berjaya mengawal penyeludupan tong LPG subsidi Malaysia ke negara jiran.

Menurutnya, sejak Januari hingga Oktober lalu, KPDNHEP menghasilkan 134 kes berkaitan kesalahan membabitkan penyelewengan LPG bersubsidi dengan nilai rampasan sebanyak RM1.15 juta.

“KPDNHEP menjangkakan bilangan kes tahun ini menurun berbanding sebelumnya memandangkan tindakan secara proaktif dan berterusan oleh pihak kementerian dalam membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan LPG bersubsidi dari terus berleluasa.

“Dalam masa sama pelaksanaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan Malaysia secara menyeluruh di dalam dan di sempadan negara menyebabkan pergerakan aktiviti sindiket penyeludupan LPG agak terhad.

“Kawalan sempadan negara yang diperketatkan dan diselia rapi oleh agensi penguatkuasa sempadan melalui pelaksanaan Ops Benteng menyebabkan pergerakan keluar masuk warga asing dari negara jiran berdepan kesukaran termasuk di laluan lorong tikus,” katanya.