Berumah dalam kereta

NEW DELHI: Demi memastikan isteri dan anaknya terselamat jangkitan Covid-19, seorang doktor di bandar Bhopal, India sanggup tidur di dalam kereta.

Memetik portal India Today, petugas barisan hadapan JP Hospital, Dr Sachin Nayak tidak pulang ke rumah selepas tamat bertugas.

Sebaliknya, dia tinggal di dalam kereta yang diparkir di tempat letak kereta di hospital terbabit.

Dia turut memenuhkan bekalan makanan di dalam kereta itu untuk keperluan harian selain menyediakan buku sebagai bahan bacaan.

Menurut doktor itu, pada masa lapang, dia membaca buku dan menghubungi keluarga menerusi panggilan video.

Katanya, rutin berkenaan dilakukan sejak seminggu lalu.

“Apabila kes pertama Covid-19 dilaporkan di Bhopal, saya tidak takut sangat.

“Tapi, beberapa hari lalu, kita dapat tengok kes positif semakin meningkat.

“Jadi, saya ambil keputusan tinggal dalam kereta buat sementara waktu,” katanya.

Gambar dia menjalani kehidupan di kereta itu tular hingga mendapat perhatian Ketua Menteri Madhya Pradesh, Shivraj Singh Chouhan.

Dalam ciapan di Twitter, Chouhan memberi penghormatan atas inisiatif dan semangat doktor berkenaan dalam memerangi wabak.

“Saya dan seluruh penduduk Madhya Pradesh beruntung ada wira seperti anda dalam melawan Covid-19.

“Jika kita semua berterusan dengan cara ini, kita mampu memenangi peperangan ini lebih cepat.

“Encik Sachin, tabik hormat semangat anda,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19