Biar malu nak keluar rumah!

SEORANG bapa memotong rambut anak lelakinya dengan gaya pelik kerana mahu memastikan budak lelaki itu tidak keluar rumah ekoran Covid-19.

Odditycentral.com melaporkan, Filipina sebuah daripada negara yang terjejas di dunia akibat pandemik maut itu sebelum menguatkuasakan larangan rakyatnya keluar dari rumah.

Minggu lalu, tular gambar kanak-kanak itu di media sosial dengan gaya potongan rambut yang pelik gara-gara dipotong bapanya.

Gambar itu terus mendapat perhatian dan pelbagai reaksi daripada warganet dengan 60,000 perkongsian selain ribuan komen.

Bapa kanak-kanak itu terpaksa bertindak sedemikian kerana kedegilan anak lelakinya itu untuk tinggal di rumah sepanjang tempoh penguatkuasaan larangan itu.

Ia berbanding menggunakan pendekatan yang lebih keras seperti marah dan menengking anaknya.

Gambar kanak-kanak itu dimuat naik kakaknya di Facebook selepas membuat perbandingan dengan gaya potongan rambut normal adiknya sebelum ini.

“Saya seakan mahu tertawa bila melihat gambar potongan kanak-kanak ini. Dia kelihatan begitu sengsara,” komen seorang individu pada gambar berkenaan.

“Tindakan ini dianggap keterlaluan, dia sangat sedih,” kata seorang lagi individu yang tidak bersetuju dengan tindakan yang dikenakan terhadap kanak-kanak itu.

Sebanyak 2,311 kes Covid-19 dicatatkan di Filipina dengan 96 kematian, manakala 50 daripadanya sudah pulih.