Bimbang jadi ‘kluster Liga M’

ADAKAH saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini akan dibatalkan? Persoalan terbabit bertiup kencang dalam kalangan 24 pasukan Liga M berikutan situasi semasa yang tidak dapat dielakkan.

Keputusan berat itu mungkin terpaksa diambil berikutan tidak mahu perlawanan Liga M menjadi kluster baharu susulan pandemik Covid-19 di negara ini semakin pulih.

Sumber daripada persatuan bola sepak negeri bagaimanapun memaklumkan keputusan terbabit hanya diketahui dalam masa terdekat ini apabila pihak berkaitan iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berbincang untuk meneruskan saingan liga atau sebaliknya.

Beliau berkata, setakat ini persatuan bola sepak negeri hanya menunggu kata putus daripada MFL dan FAM sebelum melakukan rundingan bersama pemain dan pegawai pasukan.

“Saya dimaklumkan saingan Liga M mungkin dibatalkan atau bersambung pada 2021 atau hujung tahun ini, namun mereka akan mengadakan mesyuarat berkaitan perkara terbabit,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan terdapat beberapa pasukan Liga M sudah mula memberi bayangan mahu saingan liga pada musim ini dibatalkan atau bersambung pada tahun hadapan daripada diteruskan dalam waktu suntuk seterusnya bakal menimbulkan pelbagai masalah nanti.

Malah, jika diteruskan juga tanpa penonton di stadium sudah pastinya akan menyaksikan satu persatu pasukan ‘gugur’ apabila situasi terbabit membebankan mereka berikutan hilang sumber pendapatan menerusi penjualan tiket.

Antara pasukan yang sudah mengangkat’ bendera putih’ untuk meneruskan saingan liga adalah Kelantan apabila mereka kini berada dalam situasi tersepit selepas pengurusan Team Red Warrior (TRW) Sdn Bhd yang menguruskan skuad itu tidak bersetuju jika aksi diteruskan tanpa kehadiran penonton.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, segala keputusan membabitkan pembatalan liga atau penganjuran aktiviti bola sepak adalah berpandukan pada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19