Black, Shuib akui kesilapan, mohon maaf

SELEPAS Tomok, penyanyi Black Hanifah dan pelawak, Shuib tampil membuat permohonan maaf menerusi video yang dimuat naik di Instagram.

Mereka mengakui kesilapan mengeluarkan kenyataan berkaitan permohonan sumbangan untuk golongan artis dan pekerja seni daripada kerajaan hingga dikecam teruk netizen.

Black dalam video berdurasi 52 saat berharap supaya netizen berhenti menulis kecaman terhadap dirinya dan keluarga.

“Baru-baru ini, saya ada keluarkan kenyataan yang membuatkan ramai orang rasa tak selesa dan marah. Niat saya nak membantu, tapi mungkin cara penyampaian saya salah.

“Saya ingin memohon maaf secara terbuka atas kesilapan saya. Saya juga manusia biasa. Saya harap netizen dapat berhenti menulis komen yang tidak baik ke atas diri saya dan keluarga,” katanya.

Black juga mengambil kesempatan itu untuk berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin baru-baru ini.

“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri yang memberikan hak sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, pelawak yang juga penyampai radio, Shuib mengakui kesilapannya dan memohon maaf serta berharap supaya isu ini selesai.

“Saya terima apa juga kata-kata anda. Satu yang pasti, saya selalu kenang jasa anda semua yang menyokong saya,” tulisnya.

Shuib juga mengambil kesempatan itu untuk memohon seluruh masyarakat bersama-sama berdoa agar negara kita bebas daripada jangkitan wabak Covid-19 secepat mungkin.

“Sama-sama kita berdoa agar negara kita lekas bebas daripada Covid-19 dan semoga kita sentiasa dilindungi, diberkati dan dipermudahkan segala urusan dunia serta akhirat.

“Sama-sama kita bantu mana yang memerlukan dan semoga kita terus tabah dalam ujian ini. Mohon maaf sekali lagi,” katanya.

Terdahulu, seperti yang dilaporkan Harian Metro semalam, penyanyi Tomok turut tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di platform media sosialnya.

Isu kecaman terhadap golongan selebriti mula timbul selepas beberapa selebriti seperti Black, Tomok dan Shuib mengeluarkan kenyataan meminta kerajaan mempertimbangkan sumbangan terhadap golongan artis dan pekerja seni.

Berita berkaitan

• Tomok minta maaf…