BN pertahan Dun Slim dengan majoriti besar [RASMI]

BARISAN Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun itu, hari ini dengan majoriti 10,945 undi.

BN diwakili calonnya, Mohd Zaidi Aziz, 43, meraih 13, 060 undi, mengatasi dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S Santharasekaran, 44, masing-masing memperolehi 2,115 dan 276 undi.

Amir Khusyairi mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang baharu menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK, Shamsul Ridzuan Idris di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim sebentar tadi.

Proses pengundian di semua 12 pusat mengundi membabitkan 54 saluran dibuka bermula 8 pagi hingga 5.30 petang tadi.

Peratusan keluar mengundi sehingga 5.30 petang selepas semua pusat mengundi ditutup ialah sebanyak 68.40 peratus daripada 22,749 pengundi menunaikan tanggungjawab itu.

Secara keseluruhan, terdapat 56 saluran di 13 pusat mengundi bagi Dun Slim termasuk saluran dan pusat pengundian awal pada 25 Ogos lalu.

Pengundi berdaftar membabitkan 23,094 iaitu 74 peratus pengundi Melayu, India (12 peratus), Cina (10 peratus), Orang Asli (1.4 peratus) dan lain-lain (2.6 peratus).

PRK ini adalah PRK ke-12 selepas PRU Ke-14 dan yang kedua buat Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada Pakatan Harapan (PH) pada Mac lalu.

PRK Dun Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.

Pada PRU-14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim