BNM tak buat ‘u-turn’, tapi pelanggan terlepas pandang

KENYATAAN yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam bukanlah satu tindakan ‘u-turn’ sebaliknya ia hanya menjelaskan langkah yang akan diambil institusi kewangan dalam melaksanakan moratorium yang ditawarkan.

Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat BNM, Datin Arlina Ariff berkata, tidak timbul isu BNM membuat kenyataan berbeza kerana sejak kenyataan pertama dikeluarkan pada 25 Mac lalu, peminjam sudah dimaklumkan bahawa kadar faedah/keuntungan akan terus diakru (diambil kira) atas pembayaran yang ditangguhkan dan peminjam hendaklah mempertimbangkan perkara ini apabila membuat keputusan sama ada ingin mengambil moratorium.

“Namun, orang ramai lebih teruja untuk mendapatkan maklumat mengenai penangguhan bayaran itu sehingga terlepas pandang fakta berkaitan kadar tambahan yang akan dikenakan institusi kewangan,” katanya dalam sidang video BNM yang diadakan, hari ini.

Menurutnya, sebagai pengawal selia sistem kewangan negara, BNM bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan sebelum institusi kewangan supaya pengguna tidak ‘terkejut’ dengan sebarang makluman daripada bank.

“Institusi kewangan mempunyai prosedur masing-masing. Tetapi, ia seharusnya selaras dengan apa yang dikeluarkan BNM dan dalam kes ini mengikut Akta Sewa Beli 1967 (Akta Sewa Beli),” katanya.

Ketika ditanya mengenai kadar faedah atau caj yang akan dikenakan selepas tamat tempoh moratorium ini, beliau berkata, setiap bank mempunyai cara sendiri untuk menjana keuntungan berdasarkan keputusan komersial mereka dan BNM tidak boleh menentukan bagaimana dan berapa ia ditetapkan.

“Kadar faedah atau caj ini ditentukan bank sendiri. Namun, apa yang pasti, kadar itu tidak boleh lebih tinggi daripada apa yang dipersetujui ketika pelanggan menandatangani kontrak sewa beli,” katanya.

b>Berita berkaitan

• BNM kesal orang awam keliru

• Pelanggan juga boleh buat ‘u-turn’

• Isu moratorium, apa yang anda perlu tahu