Bomba cari lelaki dipercayai hanyut bersama kereta

Kluang: Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dikatakan hanyut bersama kenderaan dinaiki.

Kejadian berlaku di Batu 18 Jalan Kluang-Kahang kira-kira jam 8 malam tadi ketika lelaki berkenaan bersama isterinya cuba melalui laluan yang dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Penolong Penguasa Bomba Akob Sedek berkata, sebaik maklumat diperolehi, sembilan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian namun tidak berjaya menemui mangsa kerana keadaan air terlalu dalam.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat diteruskan awal pagi hari ini menggunakan sebuah bot untuk menyusuri tali air yang dilaporkan sebagai lokasi lelaki berkenaan dihanyutkan.

“Seramai 15 anggota dengan sebuah lori dan bot sudah digerakkan untuk tugas mencari dan menyelamat,” katanya.