‘Booth’ mudah alih antara kaedah terbaharu Korea Selatan tangani penularan COVID-19

Terbaharu ialah penggunaan bilik kecil mudah alih yang memerlukan petugas kesihatan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) secara minimum ketika mengambil sampel pesakit. Foto: The Korea Herald

KOREA Selatan terus memperkenalkan cara baharu untuk melindungi para petugas kesihatan dalam melawan wabak COVID-19 di negara itu.

Terbaharu ialah penggunaan bilik kecil mudah alih yang memerlukan petugas kesihatan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) secara minimum ketika mengambil sampel pesakit. 

Booth mudah alih menggunakan PPE secara minimum

Booth kecil ini didirikan di Pusat Perubatan Boramae di selatan Busan. 

Menurut salah seorang doktor di hospital itu, Dr Ahn Yeo Hyun, apabila petugas perubatan berada di dalam booth tersebut mereka hanya menggunakan sarung tangan yang dilekatkan sekali pada booth berkenaan.

“Penggunaan PPE yang lengkap adalah tidak selesa buat petugas perubatan terutamanya ketika suhu panas.

Booth ini akan memberikan impak positif kepada petugas perubatan dan melindungi mereka daripada menghirup udara yang dijangkiti,” jelasnya.

Kelengkapan baharu itu dijangka lebih efisien dan mudah untuk digunakan selain dapat mengurangkan penggunaan PPE yang jumlahnya semakin berkurangan.

Booth ini boleh dinyahjangkitan dan dilengkapi dengan empat roda bagi memudahkan ia dipindahkan ke mana-mana lokasi yang diperlukan penggunaannya.

Lanjutan penjarakan sosial untuk dua minggu lagi

Selain itu, kerajaan Korea Selatan bercadang untuk meneruskan langkah penjarakan sosial selepas angka positif COVID-19 di negara itu kini menghampiri 10,000 kes.

Pada Khamis, negara itu mencatatkan 89 kes positif baharu menjadikan jumlah kumulatif adalah 9,976 kes.

Kerajaan turut memaklumkan akan mengumumkan pelan baharu yang merangkumi keputusan sama ada kempen penjarakan sosial akan dilanjutkan untuk dua minggu lagi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Kim Kang-Lip pada sidang media menjelaskan, lanjutan dua minggu lagi dapat menurunkan kadar sehingga 88 peratus kes jangkitan COVID-19.

Aplikasi pantau kesihatan, pergerakan penduduk

Sementara itu, bagi penduduk Korea Selatan yang dikuarantin, mereka diwajibkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih bagi membolehkan kerajaan memantau kesihatan dan pergerakan mereka dalam usaha menghentikan penyebaran COVID-19.

Pegawai Komunikasi Keselamatan, Park Jong-hyun di Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan menjelaskan aplikasi mudah alih menggunakan teknologi GPS itu adalah untuk mengesan pergerakan pengguna.

Korea Selatan menguatkuasakan kuarantin sejak awal Mac dan mengarahkan aplikasi mudah alih itu dimuat turun pada telefon mereka.

Bagaimanapun, pada penghujung Mac, kerajaan Korea Selatan menguatkuasakan  kuarantin untuk warga Korea Selatan dan pelancong  memasuki negara itu.

Bermula 1 April, semua pelancong yang tiba di Korea Selatan dikehendaki kuarantin 14 hari, sama ada di rumah atau di kemudahan yang disediakan kerajaan.

Sebelum ini, beberapa inisiatif lain turut dilakukan Korea Selatan dalam memerangi wabak ini termasuk menyediakan sebuah hospital di Seoul yang menggunakan fasiliti berbentuk “pondok telefon” bagi menjalankan pemeriksaan COVID-19.

BACA: COVID-19: Hospital Korea Selatan guna fasiliti 'pondok telefon' jalankan pemeriksaan

Inisiatif yang dilahirkan Korea Selatan turut menjadikan negara itu sebagai negara contoh dalam usaha pembendungan wabak tersebut.

Negara itu yang sebelum ini merupakan antara negara paling teruk terjejas, kini berupaya mengawal penularan COVID-19 ketika semua negara masih bergelut untuk berbuat demikian.