Boris Johnson tidak sabar untuk kembali bertugas Isnin ini selepas pulih COVID-19

Johnson dilapor bercadang untuk kembali ke Downing Street seawal Isnin ini untuk menangani krisis COVID-19 di negara itu.

LONDON: Perdana Menteri Britain Boris Johnson yang sembuh daripada COVID-19 menyatakan sudah tidak sabar untuk kembali bertugas.

Johnson dilapor bercadang untuk kembali ke Downing Street seawal Isnin ini untuk menangani krisis COVID-19 di negara itu.

BACA: COVID-19: PM Britain, Boris Johnson dibenarkan keluar hospital

BACA: COVID-19: Boris Johnson keluar ICU, kekal dalam pemantauan

Difahamkan beliau memaklumkan kepada pembantunya untuk menjadualkan mesyuarat bersama setiap menteri Kabinet minggu depan, lapor Telegraph.

Beliau yang sebelum ini dimasukkan ke wad susulan dijangkiti COVID-19 kini mulai sembuh selepas dibenarkan keluar dari hopsital dan menjalani pemulihan di kediamannya di Chequers.

Johnson, 55, dimasukkan ke Hospital St Thomas awal bulan ini setelah menunjukkan simptom demam dan batuk.

Beliau kemudian dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) di mana beliau mendapatkan rawatan selama tiga malam.

Johnson merupakan pemimpin negara pertama dimasukkan ke hospital akibat jangkitan koronavirus.

Sepanjang ketiadaannya, Setiausaha Luar Dominic Raab mengambil alih tugas.

Johnson menerima kritikan daripada pihak pembangkang dan beberapa pakar epidemiologi kerana didakwa lewat bertindak ketika koronavirus itu mulai menular.

Britain merupakan antara enam negara dengan angka jangkitan tertinggi di dunia. Ketika ini, Britain mencatatkan 139,246 kes positif dengan 18,791 kematian.