Buah pinggang untuk isteriku

“SAYA serahkan seluruh jiwa raga untuk isteri tersayang demi melihat dia kembali sihat seperti dulu,” kata Mohammad Hilmi Mohd Isa, 32 yang mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada isterinya.

Mohammad Hilmi berkongsi kisah isterinya, Noratiqah Abd Latif, 32, yang mengalami kerosakan buah pinggang kronik tahap lima di Facebook sebelum menjalani rawatan pemindahan buah pinggang di hospital awam pada 28 Julai lalu.

Mohammad Hilmi berkata, perkahwinan yang dibina enam tahun lalu diduga apabila isterinya disahkan menghidap penyakit kronik itu pada 2017.

“Pada mulanya isteri mengadu pening kepala yang melampau serta mengalami kencing berbuih.

“Selama ini isteri tidak pernah mengalami sakit kronik lain namun doktor sahkan kedua-dua buah pinggang isteri tidak berfungsi dan perlu menjalani rawatan dialisis seumur hidup,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, keputusan perubatan menunjukkan jalan terbaik untuk Noratiqah menjalani kehidupan normal tanpa melakukan rawatan dialisis seumur hidup ialah pemindahan buah pinggang.

“Selepas doktor beritahu perkara itu, tanpa berfikir panjang saya terus ambil keputusan menjadi penderma.

“Noratiqah adalah tanggungjawab saya. Walaupun dia sakit, saya tidak akan tinggalkan dia dan sama-sama mengharungi ujian ini,” katanya.

Mohammad Hilmi yang bekerja sendiri berkata, dia bersyukur penantian tiga tahun akhirnya tertunai apabila rawatan pemindahan buah pinggang itu berjalan lancar.

“Sepatutnya rawatan itu dijalankan pada Mac lalu namun ditangguhkan pada satu tarikh yang belum pasti disebabkan Covid-19.

“Namun, Alhamdulillah pada 28 Julai lalu pembedahan berjalan lancar dan akhirnya isteri boleh buang air kecil semula selepas tiga tahun kedua-dua buah pinggangnya gagal berfungsi,” katanya.

Sementara itu, Noratiqah berkata, pada mulanya dia serba salah untuk menerima buah pinggang suaminya.

“Saya terharu dengan keputusan suami menderma sebelah buah pinggangnya kepada saya.

“Saya juga serba salah kerana dia yang sihat terpaksa berkorban untuk isterinya yang sakit ini. Tapi akhirnya saya terima kerana dia nekad dan ikhlas demi melihat saya sihat semula seperti dulu,” katanya.

Noratiqah yang juga penjawat awam itu menzahirkan rasa syukur pembedahan berjalan dengan lancar.

“Selepas ini saya dan suami akan mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan garam, gula dan minyak.

“Alhamdulillah, tiada lagi tiub-tiub yang melekat di tubuh saya dan kini saya tidak perlu lagi menjalani rawatan dialisis yang dahulunya hampir setiap hari.

“Sekarang, kami hanya perlu memantau kesihatan masing-masing dan buat pemeriksaan kesihatan tiga kali seminggu,” katanya.