‘Buat apa berpura-pura’

“SAYA selesa menjadi diri sendiri.” Bunyinya agak berani, tapi itulah prinsip yang dibawa pelakon baharu yang kian meningkat naik, Scha Elinnea untuk melangkah dalam dunia hiburan tanah air.

Jika segelintir bintang baharu selesa untuk mengikut telunjuk orang lama, berbeza dengan Scha, 21, yang memilih untuk mencorakkan kerjaya seni dengan cara dan pilihan sendiri.

Dari segi usia, dia mungkin nampak masih mentah. Tapi, siapa sangka anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini memiliki jiwa kental yang mampu membawa kakinya melangkah lebih jauh dalam bidang glamor ini.

Sekali gus membuatkan pelakon yang mula mencuri perhatian menerusi drama Mr Grey itu berani berdepan dengan apa saja yang datang baik dalam kerjaya atau peribadi.

“Saya seorang yang sangat mudah. Macam mana remaja seusia saya menjalani kehidupan mereka, begitu juga saya. Cuma, mungkin apa yang membezakan kami adalah pilihan kerjaya.

“Betul, menjadi selebriti serba serbi menjadi perhatian ramai. Tak banyak, sikit pun tetap ada yang memerhati. Tinggal lagi cara bagaimana kita nak membawa diri. Dalam erti kata lain, berani buat berani tanggung.

“Disebabkan itu, prinsip saya mudah adalah menjadi diri sendiri. Sebagai contoh, saya akui kalau orang nak kata seksi disebabkan penampilan di Instagram. Sebab, itu adalah saya. Buat apa saya berpura-pura semata-mana nak mengambil hati orang?

“Saya tahu, industri kita tidak semuanya indah. Ada yang perlu ‘struggle’ semata-mata nak ‘menang’ di hati masyarakat. Bagi saya itu pilihan masing-masing. Jadi, untuk tidak menjerumuskan diri saya sehingga menyakiti diri sendiri, lebih baik saya men

jadi seadanya,” katanya.

Dalam pada itu, Scha tetap bertindak tegas dan mahu bertanggungjawab dengan kerjaya yang dipilih.

Baginya, penampilan itu bukan keutamaan kerana kemunculannya dalam industri adalah untuk mempertaruhkan bakat dimiliki.

“Sebab itu saya tak kisah jika orang nak bercakap mengenai penampilan. Sebab saya tahu, apabila drama atau karya lakonan ditayangkan di kaca TV, itu yang menjadi perhatian orang.

“Kalau bagus lakonan, orang akan puji. Sebaliknya, penonton akan mengkritik. Jadi, ini saja pilihan yang ada. Mahu menjadi pelakon yang bagus dan berkualiti atau sekadar sensasi dan penuh kontroversi.

SCHA mahu pertaruh bakat dalam industri dan penampilan bukan satu keutamaan baginya.
SCHA mahu pertaruh bakat dalam industri dan penampilan bukan satu keutamaan baginya.

“Disebabkan itu, dari awal kemunculan sampai sekarang saya sentiasa cuba untuk memperbaiki mutu lakonan. Peluang bekerjasama dengan pengarah dan pelakon berbeza, membuatkan saya banyak belajar memajukan diri,” katanya.

Tawaran tanpa henti

Walaupun usia kerjaya lakonan masih hijau, Scha bertuah apabila laluannya dalam bidang lakonan dipermudahkan apabila tawaran diterima tanpa henti.

Scha mengakui, setiap tawaran dianggap rezeki dan ruang untuknya membuktikan dia boleh berlakon dan tidak menjual rupa semata-mata.

“Dari satu drama ke satu drama, banyak perkara yang mengajar saya untuk menjadi pelakon. Disebabkan itu, saya tidak pernah mengeluh jika dalam satu masa perlu buat dua projek. Bagi saya ini adalah rezeki.

“Mungkin agar sukar, tapi inilah waktu untuk kita membuktikan yang mana kita mampu. Bukan saja dari segi nak susun waktu, tapi macam mana kita nak mengawal mutu lakonan terutama jika kena melakonkan watak berbeza.

“Diakui, menjadi pelakon bukan mudah. Macam dikatakan, tidak semuanya indah. Rasa dan lalui dulu, baru tahu macam mana. Tapi, takkan saya nak mengalah atau berundur selepas apa yang saya mulakan ini semakin selesa? Saya perlu teruskan dan yakin diri, inilah cabaran menjadi anak seni,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Scha baharu sahaja mengikat kontrak menjadi artis di bawah pengurusan Absolute Talents & Management.

“Sebelum ini saya bergerak solo dan menguruskan kerjaya sendiri. Ada cabaran tersendiri dilalui dan ia memberikan banyak pengalaman. Tapi, apabila dilamar menjadi artis di bawah pengurusan, saya mahu mencuba.

“Sebab sudah pasti pihak pengurusan ada perancangan tersendiri untuk kerjaya saya. Dalam masa sama, saya juga mahukan perkembangan dan peningkatan lain dan bukannya berada pada tahap sama saja.

“Sama macam orang lain, saya juga ada sasaran tertentu. Sebagai contoh, nak berlakon filem, dilantik menjadi duta atau apa saja yang mendatangkan kebaikan dalam profil kerjaya saya,” katanya.

Terbaharu, Scha masih sibuk di lokasi penggambaran drama Juliet terbitan Zeel Productions.