Buaya 350kg

SYDNEY: Seekor buaya dianggarkan sebesar sebuah kereta berjaya ditangkap di Australia.

Buaya air masin sepanjang 4.4 meter dan seberat 350 kilogram itu ditemui di sebuah pusat peranginan di wilayah utara negara itu.

Renjer kanan hidupan liar Katherine, John Burke berkata, reptilia jantan itu ditangkap di sungai Flora di sebuah taman kira-kira 120 kilometer dari barat daya bandar Outback, Katherine.

Katanya, dia tidak menyangka buaya gergasi berjaya ditangkap di sungai itu selepas rekod seekor buaya sepanjang 4.7 meter terperangkap dan ditangkap tiga tahun lalu di sungai Katherine.

“Bilangan haiwan itu meningkat dan itulah tujuan asal pengurusan zon diwujudkan dalam usaha mengurangkan kewujudan reptilia itu di kawasan tumpuan dan air masin,” katanya seperti dipetik CBC News.

Jumlah haiwan itu dilihat semakin meningkat di bahagian utara negara itu sejak undang-undang persekutuan menetapkan ia spesies dilindungi pada awal tahun 1970.

Buaya yang ditangkap itu dibawa ke ladang buaya untuk program pembiakan.

Buaya itu diperangkap dalam sangkar besar yang disajikan dengan khinzir liar dan daging lain.