Bubur air tangan terakhir mama

Kuala Lumpur: Selain kucupan, ibu lima anak, Salmah Kadir, 55, sempat memasak bubur buat anak bongsunya, Muhammad Nur Iman Amran Ibrahim, 21, sebelum maut dilanggar kereta pada 8.30 malam kelmarin.

Kisah itu dikongsikan anak kedua mangsa, Nur Faziela Ibrahim, 27, menerusi hantaran di Facebook (FB) Masak Apa Tak Jadi, semalam.

Menceritakan kisah itu, Nur Faziela berkata, ibunya dilanggar kereta ketika sedang melintas jalan untuk ke kedai berhampiran rumah di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru di Johor.

Menurutnya, dia yang tidak tinggal bersama ibunya hanya tahu mengenai kejadian itu selepas dihubungi kakak ipar, Masfarazila Maslah, 35, dan adiknya, Muhammad Nur Iman, 21.

“Kebiasaannya, mama akan meminta tolong adik (Muhammad Nur Iman) untuk membeli barang di kedai.

“Namun, mama pergi sendiri pada malam itu kerana adik demam dan muntah-muntah.

“Mama sempat menyediakan bubur dan mencium adik sebelum keluar daripada rumah, malah berulang kali memberitahu hanya keluar sekejap saja tetapi sebaliknya berlaku apabila dia pergi buat selamanya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Faziela, jenazah ibunya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala, leher dan tulang belakang.

Katanya, dia reda dengan ketentuan Allah tetapi masih terkesan lebih-lebih lagi apabila mengenangkan bubur yang menjadi masakan terakhir ibunya sebelum meninggal dunia.

“Kami sekeluarga sempat menjamah bubur itu pada pagi semalam sebelum ke hospital bagi menguruskan jenazah.

“Alhamdulillah, urusan pengebumian berjalan lancar dan mama selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin, Johor Bahru sebelum Maghrib semalam.

“Sudah sampai ajal mama, cuma saya sedih kerana tidak sempat menunaikan hajatnya untuk datang ke rumah saya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas dalam waktu terdekat,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

Berhubung hantarannya di FB, Nur Faziela berkata, niatnya berkongsi kisah dan gambar bubur itu dengan harapan ada yang mendoakan ibunya.

Namun, Nur Faziela tidak sangka perkongsiannya itu mendapat perhatian apabila ramai yang mengucapkan takziah dan menitipkan doa buat ibunya.

“Terima kepada semua yang mendoakan arwah mama dan hanya Allah saja dapat membalas kebaikan kalian.

“Diharap, apa yang berlaku terhadap mama memberi pengajaran kepada semua untuk berhati-hati ketika di jalan raya,” katanya.