Budak kunyah plastik berinti gula

Kiev: Makan bekas plastik ‘berintikan’ gula. Itu yang berlaku kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang ditinggalkan bersendirian oleh ibunya di sebuah pangsapuri di Odessa, minggu lalu.

Kejadian itu disedari jiran yang melihat kebocoran air di tingkat atas kediaman mereka.

Mengesyaki sesuatu tidak kena, jiran berkenaan cuba mendapatkan ibu kanak-kanak terbabit untuk memaklumkan hal itu.

Mirror melaporkan kanak-kanak itu, Volodya ditinggalkan ibunya dengan pintu berkunci selama tiga hari.

“Saya lihat air mengalir di dinding dan berlari ke atas untuk memaklumkan mengenainya.

“Selepas mengetahui Volodya bersendirian, saya terus mendapatkan bantuan kecemasan,” kata jiran itu.

Pasukan keselamatan yang menemui kanak-kanak itu sedang makan bekas plastik bersama gula.

Mereka memecahkan pintu untuk masuk ke rumah dan menyelamatkannya.

Pasukan penyelamat tidak menemui sebarang makanan di rumah berkenaan, yang menyebabkan Volodya mengunyah bekas plastik.

Dia yang masih lemah dibawa ke hospital dan doktor mengesahkannya mengalami kekurangan nutrisi.