Budak mangsa culik, perkosa, bunuh, bakar

Karachi: Diculik, diperkosa, dibunuh dan dibakar. Itu nasib malang yang menimpa seorang kanak-kanak perempuan di sini, baru-baru ini.

Akhbar Pakistan, Daily Times melaporkan mayat Marwah, 5, ditemui di dalam guni di kawasan Old Sabzi Mandi, awal pagi Ahad lalu.

Dua hari sebelum itu, kanak-kanak itu dilaporkan hilang di kawasan sama.

Selepas ditemui, mayat budak itu dibawa ke hospital berhampiran sebelum bedah siasat mengesahkan mangsa diperkosa, dibunuh dan dibakar.

Berdasarkan keputusan bedah siasat juga, kanak-kanak itu diserang secara seksual dan mati disebabkan kecederaan parah pada kepala.

Susulan kejadian, pihak berkuasa menggerakkan usaha untuk mengesan suspek.

Setakat ini, 11 individu ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, pembunuhan Marwah mencetuskan kemarahan penduduk Pakistan yang menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

Kes berkenaan juga menyebabkan orang ramai mengadakan demonstrasi di sebuah jalan utama di ibu negara itu.

Selain itu, warganet menyelar insiden berkenaan dan mendesak supaya pelakunya dikenakan hukuman berat.

Mereka turut menggunakan tanda pagar #justiceformarwah bagi menunjukkan solidariti terhadap mangsa pembunuhan kejam itu.

Antara yang turut menyatakan simpati adalah pelakon Pakistan, Armeena Khan yang memuat naik hantaran: “Dirogol dan dibakar. Saya sudah melihat foto kejadian dan ia amat mengerikan. Bilakah kejadian seperti ini akan berakhir? #JusticeForMarwah.”