Budak maut didera ibu, bapa tiri

Melaka: Seorang kanak-kanak ditemukan meninggal dunia dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, di sini, dengan kesan cedera dan lebam di anggota badan, petang hari ini.

Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu dipercayai didera ibu dan bapa tirinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, kira-kira 4 petang, Bilik Gerakan (DCC) JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan anaknya lemas di dalam tong air di rumahnya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan di tempat kejadian, polis mendapati ada kesan lebam serta kecederaan di anggota badan kanak-kanak itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dicederakan. Susulan itu, ibu dan bapa tiri kanak-kanak berkenaan yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun ditahan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, polis akan membuat permohonan reman ke atas suspek di Mahkamah Ayer Keroh esok.