Budak tanggung derita setahun dirogol bapa tiri

Gombak: Seorang lelaki tergamak menjadikan anak tirinya sebagai tempat melampiaskan nafsu apabila merogol kanak-kanak malang itu sejak setahun lalu di rumah mereka di Rawang Jaya, Rawang, dekat sini.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki berusia 45 tahun itu terbongkar selepas mangsa berusia 10 tahun itu menceritakan kejadian kepada ibunya, Khamis lalu, sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Rawang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek dan ibu mangsa berkahwin sejak empat tahun lalu dan tidak memiliki anak sepanjang perkahwinan mereka.

Menurutnya, sebaik mengetahui kejadian anaknya diperkosa itu, wanita terbabit ada bertanya kepada suspek mengenai apa dilakukannya kepada mangsa, namun dia enggan berkata apa-apa.

“Susulan itu, wanita terbabit yang juga suri rumah membawa anaknya membuat laporan polis.

“Ketika ditanya polis, mangsa memberitahu menjadi mangsa rogol bapa tirinya sejak berusia sembilan tahun di kediaman mereka,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Arifai berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan suspek ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari sehingga 20 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.