Bukan alasan patah semangat

Kuala Lumpur: Pengalaman bertugas pada Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu meninggalkan kenangan pahit manis kepada anggota keselamatan terutama anggota polis.

Selain berdepan pelbagai kerenah orang ramai, mereka juga terpaksa berpanas dan berhujan selain nyawa boleh terancam bagi memastikan rakyat mematuhi perintah dikeluarkan kerajaan.

Bagi Konstabel Muhammad Haizad Nordin, 28, yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Putra Permai, Seri Kembangan, Serdang, kecederaan pada bahagian atas hidung dan kepala dalam insiden khemah ranap ketika ribut petir 7 April lalu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada orang ramai.

Menceritakan semula kejadian itu, Muhammad Haizad berkata, dia dan beberapa anggota lain sedang berehat di bawah khemah kerana hujan lebat dan ribut petir.

“Secara tiba-tiba khemah ranap dan kipas yang dipasang di khemah terkena hidung serta kepala saya.

“Saya terus keluar dari khemah sebelum seorang rakan memaklumkan hidung saya luka dan kepala berdarah,” katanya ketika dihubungi.

Akibat kejadian itu, Muhammad Haizad menerima lima jahitan di bahagian atas hidung selain luka di kepala.

Dia yang bertugas di Bahagian Tugas Am Balai Polis Serdang berkata, itu antara pahit maung yang perlu dilalui anggota keselamatan sepertinya kerana tugasan mereka pasti berdepan pelbagai risiko.

“Kami akan laksanakan tugas sebaik mungkin. Pada masa sama, kami memerlukan kerjasama semua pihak termasuk rakyat untuk bersama-sama memerangi pandemik Covid-19.

“Usaha memutuskan rantaian Covid-19 bukan bergantung kepada pasukan barisan hadapan sahaja tetapi juga tanggungjawab seluruh rakyat.

“Jadi, saya berharap orang ramai dapat mematuhi apa sahaja arahan dilaksanakan pihak berkuasa untuk kebaikan kita bersama,” katanya.

Sementara itu, Konstabel Siti Shafanah Borahannudin, 27, yang cedera pada bahagian kepala akibat khemah SJR di Plaza Tol Kota Damansara, Petaling Jaya ranap akibat ribut pada 18 April lalu menganggap kejadian itu sebagai pengalaman tidak dapat dilupakan.

Dia yang bertugas di Bahagian Tugas Am Balai Polis Sea Park berkata, kejadian berlaku pada jam 5 petang, ketika dia dan enam rakan berehat sebelum khemah diterbangkan angin susulan ribut petir.

Katanya, tiang besi khemah jatuh mengenainya ketika dia cuba melarikan diri.

“Ketika itu kepala saya sakit sebelum melihat darah di tangan selepas memegang kepala.

“Mujur saya hanya cedera ringan dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, baru-baru ini.

Siti Shafanah berkata, pengalaman bertugas di SJR perkara baharu baginya kerana sebelum itu, dia banyak bekerja di pejabat.

“Walaupun tidak kerap turun padang tetapi saya diberi peluang membantu rakan melakukan kawalan di SJR ketika PKP,” katanya.

Dia turut menasihatkan orang ramai supaya patuh pada arahan pihak berkuasa untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negara ini.

“Penularan Covid-19 dapat dihentikan sekiranya rakyat bersatu hati dalam membanterasnya dengan mematuhi segala arahan dikeluarkan kerajaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan