Bukan kena kawal

norhayati_nordin @hmetro.com.my

PEMBABITAN Zain Saidin dalam drama berkonsep pendidikan, Oh My English! pada 2012 cukup meninggalkan impak besar dalam kerjaya lakonannya.

Hingga kini, Zain sendiri mengakui dia cukup sinonim dengan watak Henry Middleton iaitu seorang guru berbangsa Inggeris yang berkhidmat ke sebuah sekolah menengah.

Justeru selama enam musim berpeluang menerajui drama itu, kekuatan karakter Henry menyebabkan Zain sukar menerima tawaran berlakon yang lain.

Mengulas mengenai kerjaya lakonannya yang dilihat terpinggir, suami pelakon Rozita Che Wan ini berkata dia tidak menafikan perkara itu.

ISTERI sentiasa menyokong dan mempercayai antara satu sama lain.
ISTERI sentiasa menyokong dan mempercayai antara satu sama lain.

Katanya, dia memang sudah jarang berlakon tetapi minat pada kerjaya seni tak pernah pudar. Jika ada rezeki, Zain mahu berlakon lagi.

“Cuma, sekarang ramai peminat beranggapan saya dah tak minat berlakon berikutan kurang menonjol diri. Termasuk, bertemu pihak media.

“Apapun, sebagai penggiat seni minat itu tentunya berterusan. Namun, sejauh mana pula peluang yang akan diperoleh kerana saya dikata sudah menyepi,” katanya.

Ditanya juga mengenai persepsi dia dikawal isteri, Zain menafikan tegas. Katanya, Che Ta tidak pernah mengawal pembabitannya dalam lakonan.

“Selama mendirikan rumah tangga dengan Che Ta, kami suami isteri sangat bertoleransi dan saling menghormati kerjaya masing-masing.

“Apatah lagi, kami berdua adalah selebriti dikenali. Jadi, memang tak ada sebab untuk Che Ta mahu pun saya menghalang perjalanan kerjaya pasangan.

“Che Ta, isteri yang memahami dan sentiasa menyokong saya dalam apa saja dilakukan. Ini kerana, kami juga saling mempercayai di antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Zain, meskipun usianya dan Che Ta berbeza beberapa tahun tetapi hingga kini mereka bersyukur mampu menyulam bahagia dalam rumah tangga.

Bertemu jodoh dengan Che Ta pada 2013, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia enam tahun.

ZAIN Saidin dikatakan sudah menyepi.
ZAIN Saidin dikatakan sudah menyepi.

Usaha perniagaan makanan

Zain yang sebelum ini pernah gagal dalam perniagaan kasut diusahakan, kini beralih arah menceburi bisnes makanan sejak Disember tahun lalu.

Mengakui perniagaannya pernah terjejas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 selama tiga bulan, kini keadaan semakin pulih.

“Mula-mula PKP dulu, sedihlah juga kerana perniagaan nasi kambing bakar yang dijalankan di Setor, Gombak baharu beberapa bulan beroperasi.

“Apapun, saya sentiasa percaya pada rezeki Allah. Alhamdulillah, sekarang apabila sudah dibenarkan beroperasi seperti biasa, sambutan pun makin bagus.

“Dengan harga berpatutan dan resipi hidangan kambing yang enak, syukur perniagaan makanan diusahakan ini diterima baik oleh pelanggan,” katanya.

Zain yang bekerjasama dengan seorang rakannya, berkata dia menggalas tanggungjawab di bahagian pengurusan. Katanya, setakat ini dia belum ada kemahiran memasak.

Berterima kasih dengan sokongan pelanggannya, Zain berkata pada ketika ini dia juga melihat percubaan menceburi perniagaan dalam industri makanan adalah pilihan tepat.