Bukan menyepi tapi hati-hati

SEBUT saja keluarga Senrose, sudah tentu nama dua beradik iaitu Uqasha dan Nelydia jadi perhatian.

Namun, di antara mereka nyata berbeza status apabila seorang masih solo dan seorang lagi sudah berkahwin.

Nelydia, lebih dahulu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, tahun lalu.

Selepas bergelar isteri, pelakon drama Setia Hujung Nyawa ini seakan-akan ‘menyepi’ kerana memberi tumpuan pada rumah tangga.

Bertemu dengannya baru-baru ini, adik kesayangan Uqasha itu memberitahu aktiviti kerjaya seninya masih rancak walaupun sudah berkahwin.

“Saya masih berlakon kerana tawaran tetap ada. Cuma, kini saya meneliti skrip yang sesuai sebelum menerima.

“Bukan bersikap cerewet, tetapi saya selesa memahami jalan cerita sesuatu tawaran drama diperoleh itu.

“Jika jalan cerita menarik dan wataknya juga sesuai, saya tiada masalah untuk terima,” katanya.

Ditanya penerimaan suaminya, Nelydia berkata Mohd Hafez tidak pernah menghalang dia terus berlakon.

“Suami saya beri izin dan tak sekat untuk berlakon, tetapi sebagai isteri saya yang perlu memilih tawaran sesuai.

“Saya sangat utamakan perasaan suami dan keluarga. Jadi, setiap tawaran diterima akan dibincang dahulu dengan suami. Bagaimanapun, saya yang membuat keputusan dan bersyukur suami sentiasa menyokong,” katanya.

Melihat kebahagiaan terpancar di matanya, Nelydia semakin matang dalam kehidupan seiring usia 26 tahun.

“Apa pun yang saya lakukan sekarang ini, lebih memikirkan menjaga nama baik keluarga terutama suami.

NELYDIA Enggan terburu-buru meluaskan empayar perniagaan.
NELYDIA Enggan terburu-buru meluaskan empayar perniagaan.

“Saya bersyukur ditemukan jodoh dengan suami yang begitu memahami dan terus menyokong apa saja saya suka serta minat.

“Hingga kini, minat pada berlakon tidak pudar. Namun, demi jaminan masa depan saya beranikan diri menceburi perniagaan barangan perhiasan diri,” katanya.

Bersyukur perniagaannya begitu cepat mendapat perhatian, Nelydia bagaimanapun sedar segalanya masih baru bermula.

“Walaupun perniagaan saya boleh dikata masih ‘hijau’, sambutan diterima kini sangat baik dan positif.

“Saya pun tak sangka, perniagaan emas yang sinonim dengan perhiasan wanita cukup cepat tarik perhatian,” katanya.

Enggan terburu-buru meluaskan empayar perniagaannya, Nelydia berkata rezeki itu milik Allah dan katanya dia hanya berusaha.

Bagaimanapun, katanya dia amat gembira apabila perniagaan itu berhasil berkat dorongan dan sokongan padu suami tercinta serta keluarga.

Hati-hati di lokasi penggambaran

Mula membina kerjaya seni ketika berusia 13 tahun, Nelydia berkata dia makin matang dengan permainan industri seni.

Cabaran besar perlu dihadapi kini pastinya dengan berlaku penularan wabak Covid-19 dalam negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Selepas berbulan-bulan ‘cuti kerja’ kerana aktiviti penggambaran tidak dibenarkan, kini paling utama kena peka pada keselamatan.

Oleh itu, sejak aktiviti penggambaran boleh dilakukan bermula 10 Jun lalu, Nelydia berkata dia sangat berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Paling utama, saya akan pastikan tidak duduk berkumpul sebagaimana arahan penjarakan fizikal.

“Selain itu, saya juga pastikan tidak bersentuhan dengan sesiapa kerana perlu menjaga keselamatan diri,” katanya.

Ujar pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Nik Sen ini, dia kini terbabit penggambaran drama untuk slot Akasia TV3.

Katanya, dalam bekerja dia tetap profesional, namun, pada situasi sekarang dia memandang berat penjagaan diri dan kebersihan.