Bukan minta dihampar karpet merah

“KAMI tak kisah bekerja keras untuk menyekat penularan Covid-19. Bukan kami minta dihampar karpet merah.

“Betapa kami cuba melakukan tugas kami (dengan sebaiknya). Sangat menyedihkan,” demikian luahan hati seorang petugas barisan hadapan.

Memetik hantaran statusnya di Facebook (FB), Sakinah Sulong meluahkan kekecewaannya itu terhadap sikap negatif segelintir individu yang diperiksa ketika bertugas di lapangan bagi mengambil sampel sama ada mereka dijangkiti virus berkenaan.

“Manusia tak kira warna kulit datang dengan dua lubang hidung dan satu mulut untuk kami ambil swabnya. Tak kiralah siapa pun dia tapi ralatnya bila kami menyaksikan ada manusia sangat sombong.

“Masa kami ambil sampel jemaah tabligh, rata-ratanya mudah bekerjasama, jarang buat masalah atau bergaduh dengan petugas.

“Tapi bila ada golongan baru turun dari kayangan (kluster luar negara) macam-macam kerenah terpaksa dihadapi, tak nak dikuarantin, marah-marah, panggil staf kami dog…pencacai najis,” katanya.

Berikutan itu, Sakinah mencadangkan mereka yang tidak mahu bekerjasama ditahan di lokap.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

“Saya fikir kalau begini kelakuan orang dikuarantin amat bagus jika laporan polis dibuat atau MKN keluarkan arahan disumbat dalam lokap sementara kalau tak mahu bekerjasama.

“Kami petugas kesihatan bertindak mengikut arahan hanya untuk memastikan rakyat Malaysia yang baru sampai dari luar negara ini selamat dan tidak menyebarkan (wabak) kepada orang lain.

“Memang kami kena kerja kuat sekarang bertugas siang dan malam buat saringan tapi nampaknya ada orang turun kayangan ini sombongnya bukan main, bagai dipijak-pijak maruah kami, petugas kesihatan. Memang tak bersyukur!” luahnya.

Sementara itu, seorang individu menggunakan akaun FB Al Hafiz Burhanuddin pula mendedahkan kisah sebenar pengalaman dan kesulitan pihak golongan ‘kluster kayangan’.

“Walau pahit nak telan, tapi kena akui memang wujud kepincangan dalam mengendalikan rakyat Malaysia yang baru tiba dari luar negara hingga ada terkandas lima jam sebelum tiba di hotel,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19