Bukan semua berlagak sombong

“BUNYINYA memang indah duduk di hotel untuk kuarantin. Namun Tuhan saja yang tahu bagaimana tekanan emosi berada di dalam bilik. Kita yang normal pun hanya akan meluangkan masa di bilik hotel beberapa jam saja sebelum keluar.”

Itu luahan seorang rakyat tempatan yang baru pulang daripada urusan kerja di luar negara namun terpaksa menjalani perintah kuarantin di dalam bilik hotel.

Ada yang menyatakan bahawa ia umpama situasi ‘dua darjat’ apabila rakyat negara yang baru pulang dari luar negara diberikan penginapan di hotel manakala yang lain dikuarantin di hospital atau kawasan terpilih selama 14 hari pemantauan jangkitan virus Covid-19.

Wujud juga dakwaan daripada petugas barisan depan bahawa rakyat tempatan yang baru pulang dari luar negara berkenaan umpama ‘kluster kayangan’ yang kurang memberi kerjasama tidak seperti pesakit lain terutamanya daripada kluster jemaah tabligh.

Tidak kurang juga menerusi hantaran di laman sosial menyatakan bahawa kluster tabligh jauh lebih baik daripada segi kesopanan ketika bertutur dengan petugas keselamatan berbanding ‘kluster kayangan’ ini.

Wartawan Harian Metro berjaya menghubungi seorang rakyat tempatan yang dikategorikan sebagai kluster kayangan ini untuk mengetahui kebenaran beberapa dakwaan yang tular di media sosial.

Lelaki berusia 33 tahun yang mahu dikenali sebagai Haniff berkata, dia tidak menafikan bahawa memang wujud kelompok kecil rakyat tempatan yang pulang dari luar negara berlagak sombong namun ia hanya kumpulan yang sangat kecil.

“Jangan kerana nila setitik, habis kami semua terkena tempiasnya. Masih ramai lagi yang berada dalam kategori ‘kluster kayangan’ ini memberikan kerjasama dengan baik kepada petugas barisan depan kerana kami juga mengetahui jerih payahnya tugas mereka.

Petugas barisan hadapan KKM.
Petugas barisan hadapan KKM.

“Cuma, apa yang kami kesalkan pengurusan bagi kluster ini tatkala berada di lapangan terbang lagi. Kami terpaksa menunggu berjam-jam dan masuk ke bilik hotel pada jam 1 pagi dalam keadaan lapar kerana tidak disediakan sebarang bentuk makanan.

“Untuk itu, saya rasa bukan isu besar namun apa yang meresahkan saya adalah tiada maklumat jelas berhubung status kami ketika berada di lapangan terbang. Tidak ada pegawai yang menjelaskan bahawa ke mana kami akan pergi dan apakah prosedur lanjutnya,” katanya dihubungi Harian Metro, semalam.

Haniff yang masih dikuarantin di sebuah hotel di ibu kota menyatakan pegawai bertugas ada menyatakan jadual waktu makan untuk semua individu yang dikuarantin namun waktu makan berkenaan tidak dipenuhi dan sering lewat.

Dia berkata, wujud juga segelintir petugas barisan depan yang bercakap kasar dengan mereka walaupun niat hanya untuk bertanya situasi semasa.

“Saya maksudkan bukan daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi petugas daripada agensi lain. Ada yang cuba bertanya situasi kami dan petugas membalas dengan cara kasar. Saya faham semua pihak sedang berada dalam tekanan, namun ia lebih baik jika menjawab pertanyaan dengan baik.

“Kita juga amat menghargai petugas barisan hadapan, namun mereka juga manusia dan tidak lari melakukan kesilapan di bawah tekanan emosi. Sama juga seperti kami, saya harap jangan kerana buruk segelintir, habis kami semua yang kena,” katanya.