Bukan senang nak peroleh

Putrajaya: Kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi kerajaan Malaysia yang diberikan kepada individu bukan warganegara.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, justeru, saringan ketat perlu dilalui untuk memastikan seseorang itu layak menerima kewarganegaraan.

Menurutnya, walaupun memenuhi syarat ketat yang diberikan JPN, ia belum menjamin seseorang bukan warganegara layak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

“Kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi kerajaan Malaysia untuk diberikan kepada seseorang individu yang bertaraf bukan warganegara dan tidak diberikan sewenangnya.

“Walaupun pemohon sudah memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan JPN untuk melayakkan permohonan dibuat namun kelulusan masih tertakluk atas budi bicara Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harian Metro.

Ruslin berkata, jika seseorang bekas warganegara Malaysia yang mahu memohon semula kewarganegaraan juga masih perlu memenuhi syarat sama ditetapkan JPN.

“Proses pelepasan warganegara ini adalah pilihan sendiri dan syarat ditentukan adalah berusia lebih 21 tahun dan waras.

“Mereka yang memiliki kriteria ini sudah cukup matang untuk membuat keputusan memilih kewarganegaraan mana yang dimahukan,” katanya.

Beliau berkata, seseorang itu perlu membuat permohonan pelepasan warganegara yang boleh dibuat di mana-mana kedutaan Malaysia seluruh dunia atau pejabat JPN.

Katanya, kebiasaannya proses permohonan dari luar negara akan mengambil masa tiga bulan dan permohonan di Malaysia hanya sebulan untuk kelulusan pelepasan kewarganegaraan.

Tambahnya, mereka yang melepaskan kewarganegaraan perlu menyerahkan MyKad dan perlu berurusan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mendapatkan dokumen bukan warganegara.

Katanya, terdapat perbezaan antara pelucutan dan pelepasan kewarganegaraan Malaysia yang perlu diketahui umum.

“Pelepasan kewarganegaraan adalah pilihan seseorang itu sendiri manakala pelucutan adalah kuasa diberikan kepada KDN terhadap seseorang itu kerana memiliki lebih daripada satu kerakyatan,” katanya.

N Ramesh 13 tahun menetap di AS.
N Ramesh 13 tahun menetap di AS.

Anak dorong tukar warganegara

Dorongan anak menjadi faktor N Ramesh melepaskan kewarganegaraan Malaysia untuk menjadi rakyat Amerika Syarikat (AS) sejak 13 tahun lalu.

Anak kelahiran Ipoh, Perak yang kini menyandang jawatan pengurus besar di sebuah syarikat kimia berkata, dorongan itu berikutan ketiga-tiga anaknya melihat kecenderungannya terhadap politik dan pemimpin negara itu terutama bekas Presiden Barrack Obama.

Namun, Ramesh, 57, yang kini menetap di Columbus, Ohio tidak kesal dengan keputusan dibuat kerana melakukannya dengan rela hati dan menganggap itu yang terbaik buat dirinya.

“Mereka (anak) tahu betapa saya kagum dengan Barrack Obama, maka mencadangkan saya menukar status kerakyatan supaya berpeluang mengundi ketika pilihan raya.

“Selepas memikirkannya, saya terima cadangan itu dan berasakan keputusan dibuat tepat pada masanya memandangkan dalam keluarga, hanya saya seorang saja yang bukan berstatus warganegara,” katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi panggilan WhatsApp.

Bercerita lanjut, Ramesh berkata, dia berhijrah ke AS pada 1984 selepas menerima tawaran menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Ohio Dominican.

“Selepas empat tahun, saya menamatkan pengajian dan terus menetap di sini kerana menerima tawaran kerja dan tajaan.

“Asalnya, saya tinggal di sini dengan permit kerja kemudian mendapat status pemastautin tetap (PR) pada 1991 sebelum permohonan menjadi warganegara diluluskan pada 2008,” katanya.

Ramesh berkata, proses permohonan untuk menukar kerakyatan mengambil masa selama tiga bulan untuk diluluskan.

Katanya, dia perlu berurusan dengan Jabatan Imigresen dan membayar wang kira-kira AS$800 (kira-kira RM3,234) bagi urusan pengecaman biometrik.

Ramesh berkata, keluarga di Malaysia menerima dan menghormati keputusannya dengan hati terbuka.