Bukit Aman sahkan terima maklumat pegawai, anggota lindungi premis judi

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima maklumat mengenai segelintir pegawai dan anggota polis disyaki melindungi premis judi tidak berlesen di sekitar Sungai Buloh.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, ketika ini pihaknya sedang meneliti maklumat diterima termasuk premis judi yang ada di sekitar Sungai Buloh.

Beliau berkata, perkara diteliti antaranya termasuk serbuan dan rampasan perjudian yang dijalankan serta beberapa isu berkaitan.

“Jika terbukti ada pegawai dan anggota polis terbabit dalam penyelewengan tugas dan melindungi sindiket berkenaan, tindakan tatatertib keras akan dikenakan kepada mereka.

“Sekiranya ada pegawai dan anggota polis menerima rasuah, ia akan dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Bernama hari ini melaporkan SPRM akan menyiasat dakwaan terhadap pihak berkuasa yang cuba melindungi premis haram, perjudian tidak berlesen dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh.

Sebelum ini, tular satu video disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar menafikan dakwaan itu dan menyatakan polis membuka kertas siasatan serta akan memanggil pengguna laman sosial berkenaan untuk memberikan keterangan.