Buruh kontrak ke tali gantung [METROTV]

BURUH kontrak dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Abd Wahab Said, 45, di akhir kes pembelaan.

Tertuduh berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, tertuduh yang berbaju hitam dan berseluar track kelihatan tenang sebaik keputusan terbabit dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 123.89 gram di sebuah rumah di Bukit Payong, Marang pada 7.30 pagi, 10 Disember 2017.

Tertuduh, Abd Wahab Said, 45, dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin, tiga tahun lalu. FOTO GHAZALI KORI
Tertuduh, Abd Wahab Said, 45, dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin, tiga tahun lalu. FOTO GHAZALI KORI

Tertuduh turut didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 51.84 gram dan heroin seberat 43.60 gram di dalam sebuah kereta Perodua Myvi yang diparkir di alamat, masa dan tarikh sama.

Selain itu, tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan memiliki dadah jenis nimetazipam seberat 7.58 gram dan 7.15 gram di dalam rumah dan kereta sama.

Bagi setiap kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula daripada tarikh tangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail dan Masliela Ismail.

Media sebelum ini melaporkan bekas banduan masih tidak serik apabila sekali lagi dicekup di rumah di Bukit Payong, Marang kerana disyaki mengedar dadah selepas hampir enam bulan selesai menjalani hukuman penjara buat kali kelima atas kesalahan sama.