Burung mati bertaburan

Rom: Ratusan burung ditemui mati di jalan sekitar landasan stesen kereta api Termini, Itali selepas malam sambutan tahun baharu.

Kisah itu mendapat perhatian hingga mengundang pelbagai andaian daripada warganet selepas gambar dan video berkaitan tular di laman sosial.

Oddity Central melaporkan punca kematian burung itu masih menjadi tanda tanya namun kumpulan pencinta haiwan mengesyaki ia ada kaitannya dengan acara pertunjukan bunga api yang diadakan.

Difahamkan, kerajaan sudah melarang mengadakan pertunjukan bunga api, tetapi tidak diendahkan.

Berikutan insiden itu, Organisasi Perlindungan Haiwan Antarabangsa (OIPA) menuntut larangan jualan bunga api dan mercun di seluruh negara.

Pemandu teksi, Diego Fennichia menyedari bangkai burung itu ketika memandu melalui Jalan Cavour berhampiran stesen kereta api berkenaan.

“Pada mulanya, saya tidak pasti apa yang bertaburan di jalan, rupa-rupanya ia adalah bangkai burung dan dianggarkan ratusan bilangannya.

“Saya menemuinya kira-kira jam 12.40 tengah malam. Saya bukanlah saintis atau pakar veterinar tetapi mengesyaki kematian burung itu disebabkan bunga api.

“Namun, itu hanya telahan saya saja,” katanya.

Kenyataan Fennichia mendapat maklum balas OIPA dengan jurucakapnya, Loredana Diglio berkata, banyak faktor menyebabkan kematian burung berkenaan, antaranya bunyi yang kuat dan cahaya daripada bunga api.

“Kumpulan burung itu kemungkinan mati disebabkan takut. Mungkin kumpulan burung itu terbang bersama sebelum bertembung sesama sendiri, terlanggar tingkap atau sumber bekalan elektrik. Jangan lupa burung juga boleh mati disebabkan sakit jantung,” katanya.

Selain laman sosial, kisah kematian ratusan burung itu mendapat liputan meluas media tempatan yang menjadikannya sebagai tajuk utama.

Walaupun bunga api didakwa sebagai punca namun belum ada pihak mengesahkannya.