Cabaran penggali kubur di waktu PKP

BIARPUN terdedah dengan risiko ancaman Covid-19, tugas sebagai penggali kubur tetap diteruskan Mohamad Rashidi Maajis, 28, demi menyara isteri dan dua anaknya.

Malah, Mohamad Rashidi juga boleh digelar sebagai salah seorang daripada petugas barisan hadapan yang menyumbang keringat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berkongsi pengalaman bertugas di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan di Kajang, Mohamad Rashidi berkata, dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka dan sarung tangan bagi mengelak dirinya dijangkiti wabak sekalipun suasana kini berbeza apabila hanya waris terdekat saja yang hadir sewaktu pengebumian.

Mohamad Rashidi berkata, dia dan bapa saudaranya, Nizam Ahmad, 50, yang juga penggali kubur juga tekad meneruskan pekerjaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kerana mahu membantu waris sekali gus melaksanakan tuntutan fardu kifayah.

“Rasa janggal apabila perlu memakai pelitup muka dan sarung tangan ketika bekerja malah ini pengalaman pertama sejak menjadi penggali kubur serta terbabit dalam kerja pengurusan jenazah sejak 11 tahun lalu.

“Selalunya ramai ahli keluarga berkumpul, begitu juga dengan yang mengusung keranda tetapi kini hanya ada ahli keluarga terdekat yang kurang daripada 10 orang.

“Setakat ini, belum ada jenazah diuruskan positif Covid-19 cuma ada tiga yang disyaki menghidap penyakit itu tetapi keputusan akhirnya negatif.

“Bagaimanapun, saya tetap ambil langkah berjaga-jaga kerana setiap hari berada di luar dan terdedah risiko,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Rashidi berkata, dia juga akan terus membersihkan diri sebaik tiba di rumah selepas selesai tugasan di tanah perkuburan .

Katanya, ia perkara biasa yang dilakukannya tetapi lebih dititikberatkan sejak wujudnya ancaman Covid-19.

“Bukan saya saja malah waris juga memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada jangkitan penyakit.

“Cuma, ada waris meluahkan kesedihan mereka apabila ahli keluarga lain tidak dapat hadir sama kerana larangan rentas negeri. Ada juga kes jenazah tidak dapat dibawa pulang ke kampung halaman kerana peraturan berkenaan ,” katanya.

Mengenai kerja pembersihan di tanah perkuburan, Mohamad Rashidi berkata, tugasan itu dilakukan seperti biasa.

“Seperti sebelum PKP, kerja pembersihan tetap diteruskan tetapi kehadiran pelawat tidak ramai.

“Bagaimanapun, masih ada yang datang menziarahi kubur ahli keluarga mereka dalam tempoh PKP dan saya tidak dapat menghalang kerana ia bersangkut paut dengan emosi.

“Saya jangka suasana di tanah perkuburan pada 1 Syawal nanti juga tidak sama seperti tahun sebelumnya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19