Cari kepuasan penonton

PADA usia 16 tahun, empayar dibina aktres Millie Bobby Brown terlalu gah ibarat sebaris pelakon bernama hebat lain. Sehinggakan sukar untuk mempercayai dirinya belum cecah fasa dewasa.

Mula meledak menerusi Siri Stranger Things di Netflix, namanya pantas mencipta fenomena luar biasa. Kini, dia menjadi antara pelakon muda paling laku serta jadi rebutan ramai penerbit.

Terbaru, Millie menerajui filem dinanti ramai Enola Holmes yang diterbitkan eksklusif di Netflix. Menariknya, dia turut menjadi penerbit bersama filem itu sekali gus mengukuhkan profilnya.

Berkongsi mengenai perkara itu menerusi wawancara bersama RAP baru-baru ini, dia mengakui sangat berbesar hati mendapat kepercayaan itu. Selain memegang watak utama sebagai Enola, pengalamannya menerbitkan filem itu sangat berharga.

“Saya memang tiada keraguan langsung untuk menerima dan menjayakan watak itu. Watak itu adalah watak yang bagi saya membawa makna besar dan tersendiri maksudnya dalam profil kerjaya.

MILLIE sentiasa sukakan cabaran. - FOTO Google
MILLIE sentiasa sukakan cabaran. – FOTO Google

“Dapat menerbitkan bersama naskhah ini pun satu pencapaian luar biasa bagi saya. Siapa sangka saya dapat terbabit dalam filem kesinambungan kepada kisah Sherlock Holmes yang terlalu hebat jenamanya.

“Semestinya ada rasa gementar memikirkan ia akan menguji kredibiliti diri. Bagaimanapun, rasa teruja itu menenggelami perasaan sangsi dan saya putuskan untuk berseronok sepanjang penggambaran,” katanya.

Mula ditayangkan kelmarin, filem yang turut dibintangi Henry Cavill sebagai Sherlock Holmes itu hampir keseluruhan untuk menonjolkan Enola. Jalan ceritanya direka khas bagi memperlihat perspektifnya.

Millie berkata, dia berbesar-hati apabila sisi lain daripada jenama kisah penyiasatan itu dirungkai. Berbanding cerita kebiasaan yang cuma memfokuskan Sherlock Holmes, kini sisi adik perempuannya jadi titik tumpu.

Justeru, dia melihat peranan wataknya bukan sekadar menjadi hero dan mempamerkan ketangkasan semata-mata. Sebaliknya, ia lebih kepada membangkitkan semangat serta martabat wanita.

“Jujur, sukar untuk saya gambarkan betapa seronok memegang watak yang diterjemah ada kuasa sendiri. Bahkan, Enola sendiri berjaya melembutkan hati abangnya Sherlock yang dikenali dengan hati keras.

“Namun, semakin saya mendalami watak itu, sebenarnya ia lebih daripada sekadar tangkas dan bijak. Ia merangkumi pesona keseluruhan dalam diri seorang wanita yang memiliki sifat pejuang.

“Disebabkan itulah, saya melihat Enola adalah watak yang perlu membuka mata golongan wanita untuk dijadikan contoh. Saya cuba salurkan sebaiknya setiap elemen itu dalam setiap gerak langkah lakonan saya,” katanya.

BERLAKON di samping nama besar termasuk Henry Cavill dan Sam Claflin. - FOTO Google
BERLAKON di samping nama besar termasuk Henry Cavill dan Sam Claflin. – FOTO Google

SANGAT berbesar-hati dapat menerbitkan bersama Enola Holmes. - FOTO Google
SANGAT berbesar-hati dapat menerbitkan bersama Enola Holmes. – FOTO Google

Melihat kepada rekod watak pernah dijayakannya, Millie jelas memiliki keperibadian yang menonjol. Mungkin itu sebabnya dia mudah memikat hati ramai penerbit.

Berkongsi mengenai hal itu, dia tidak menolak keberaniannya untuk menyahut cabaran jadi faktor penting. Baginya, dia perlu memenuhi bukan saja kepuasan diri bahkan kepuasan sesiapa yang menikmati lakonannya.

Justeru, dia sentiasa memastikan dirinya tidak penat untuk meneroka apa saja kemampuan lain dia boleh lakukan. Dia bersyukur sifat terbabit memang cukup menebal dalam dirinya.

“Saya adalah seorang yang sangat tidak takut dengan apa juga cabaran. Kalau boleh, saya memang mahukan setiap watak diberikan kepada saya membangkitkan rasa membara-bara untuk saya lunaskan.

“Elemen itulah yang membantu saya membentuk acuan bakat seni dalam diri agar menjadi lebih berkualiti. Sebolehnya, saya mahu diingati untuk setiap hasil kerja meski sekecil mana pun watak saya.

“Sebagaimana dalam Enola, saya tampil dengan jiwa muda remaja penuh rasa ingin tahu. Saya juga kembali mengasah kemampuan slanga British yang sudah lama saya sendiri tidak praktikkan,” katanya.

Enola Holmes yang diadaptasi daripada novel berjudul sama tulisan Nancy Springer itu turut dibintangi Henry Cavill, Sam Claflin, dan Helena Bonham Carter. Ia turut menampilkan bakat muda iaitu Louis Patridge.