Cari sumber pendapatan lain

PEMAIN bola sepak profesional di negara ini sudah boleh memikirkan untuk mencari sumber pendapatan sampingan berikutan situasi ekonomi tidak menentu akibat wabak Covid-19 sekali gus bakal berdepan masalah pembayaran gaji untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan akan datang.

Bekas bintang bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir berkata, ketika ini sudah hampir pasti ada pasukan Liga Malaysia (Liga M) akan membuat pemotongan gaji, namun kaedah terbabit dilihat tidak mampu bertahan lama jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan pada masa akan datang.

Beliau berkata, pemain bola sepak tidak boleh bergantung pada sumber pendapatan daripada pasukan apabila kantung masing-masing sudah mula surut akibat tiada perlawanan liga dan penaja menarik diri.

“Sekarang ini saya boleh katakan situasi yang tidak dijangka oleh semua pihak menyebabkan bola sepak negara berada dalam situasi tenat untuk tempoh akan datang.

“Sudah pasti penaja akan menarik diri dan ada pasukan pula terpaksa mengurangkan pemain mereka bagi mengurangkan bebanan.

“Saya tidak nampak situasi ini akan reda malah pemain mungkin akan melalui situasi gaji tidak dibayar kerana kekurangan dana pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Jamal berkata, pemain bola sepak yang berbelanja terlalu boros atau tidak beringat dengan membuat simpanan sudah pasti akan terjejas teruk apabila pasukan tidak lagi mampu membayar gaji.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan