CFS tangani road-kill

Kuala Lumpur: Indeks kemalangan maut di Malaysia tidak hanya membabitkan manusia, malah statistik turut menunjukkan 2,055 haiwan liar maut akibat dirempuh atau dilenyek kenderaan sejak lima tahun lalu.

Antara spesies haiwan paling malang adalah kucing batu dan kucing tulap diikuti tapir yang kerap mati dilanggar pelbagai jenis kenderaan.

Menteri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, mengikut rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebanyak 2,055 ekor pelbagai spesies hidupan liar direkodkan mati dilanggar di jalan Persekutuan, jalan negeri dan lebuh raya sejak tahun 2015 hingga 2019.

“Senarai spesies hidupan liar yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi adalah spesies kucing batu dan kucing tulap (103 ekor), tapir (66 ekor), memerang (7 ekor), beruang (7 ekor), gajah (5 ekor), harimau kumbang (5 ekor), kambing gurun (2 ekor), harimau belang (1 ekor) dan rusa (2 ekor).

“Kes road-kill berlaku apabila hidupan liar cuba melintas jalan raya atau lebuh raya yang dibina melintasi kawasan berhutan untuk bergerak ke kawasan hutan bertentangan bagi tujuan tertentu seperti mencari makanan, mencari pasangan untuk membiak atau mencari habitat yang lebih sesuai untuk berkeliaran,” katanya.

Terbaharu, seekor anak gajah jantan mati dilanggar di Batu 10, Jalan Kota-Tinggi-Mersing, Kota Tinggi, Johor pada 1 September lalu.

“Sebelum ini juga berlaku kejadian konflik manusia dan hidupan liar seperti kejadian gajah mengamuk di Jalan Mawai Kota tinggi Johor pada 31 Julai lalu selain serangan gajah ke atas orang awam di Jalan Raya Timur-Barat arah Gerik – Jeli pada 1 Ogos lalu.

“Pihak kerajaan berusaha mengurangkan masalah road-kill dengan menggunapakai konsep koridor ekologi dalam Pelan Induk Rangkaian Ekologi – Central Forest Spine (CFS) bagi tujuan menghubungkan kembali hutan yang terpisah sama ada oleh pembinaan lebuh raya, jalan raya dan pembukaan tanah untuk tujuan pertanian.

“Antara kaedah menghubungkan hutan terpisah adalah melalui pembinaan struktur lintasan hidupan luar (viaduct) di lokasi-lokasi terpilih selain mampu mengelak atau mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang membabitkan hidupan liar.

“Oleh itu, adalah amat penting bagi jajaran lebuh raya atau jalan raya yang terpaksa melalui kawasan berhutan dilengkapi dengan struktur lintasan hidupan liar seperti lintasan hidupan liar, terowong atau apa-apa jenis struktur lintasan hidupan liar bagi mengurangkan kes kemalangan ini,” katanya.

Shamsul berkata, kerajaan sudah membina tiga lintasan hidupan liar (viaduct) di Semenanjung Malaysia iaitu di Koridor ekologi Sg Deka, Terengganu, Koridor ekologi Sg Yu, Pahang dan Koridor ekologi Gerik, Perak dengan kos lebih RM100 juta.

“KeTSA melalui Jabatan Perhilitan sudah menjalankan kajian keberkesanan lintasan hidupan liar melalui kaedah pemasangan perangkap kamera.

“Hasil kajian mendapati di viaduct Sg Deka dan Gerik, Perak digunakan oleh pelbagai hidupan liar seperti gajah, rusa, kijang, kambing gurun, beruang, kucing hutan, babi dan spesies primat.

“Bagi mengurangkan kes road-kill hidupan liar di Kota Tinggi-Mersing Johor, KeTSA melalui Jabatan Perhilitan merancang untuk membina satu lagi viaduct di kilometer 48 laluan Kluang-Mersing Johor membabitkan pembinaan jejambat sepanjang 200 meter dengan anggaran kos RM28 juta,” katanya.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan lintasan hidupan liar serta memperlahankan kenderaan sekiranya terlihat papan tanda lintasan hidupan liar.

“Saya menyeru orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada Jabatan Perhilitan dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 jika terserempak dengan hidupan liar,” katanya.