Che Ta okey saja!

LEBIH 20 tahun pembabitan dalam bidang seni menjadikan pelakon terkenal, Rozita Che Wan antara figura yang sentiasa dinantikan kemunculannya di kaca TV.

Malah, pada usia 47 tahun, Rozita atau mesra disapa Che Ta masih kekal relevan apabila terus menjadi pilihan penerbit dan stesen TV untuk muncul dalam setiap karya.

Lebih menarik, Che Ta yang juga ibu kepada tiga cahaya mata sesekali diberi watak utama sesuai dengan watak diberikan.

“Alhamdulillah, pada usia sekarang saya okey dan larat lagi untuk bekerja. Setakat 47 tahun okey lagi. Tidaklah tua sangat.

“Soal relevan atau tidak dalam kerjaya lakonan, bagi saya berlakon ini kena ikut watak. Kalau dalam satu drama, heroin diperlukan adalah orang muda bermakna orang muda kena menjadi heroin.

“Kalau watak itu heroin diperlukan orang tua, kenalah ikut usia. Macam saya berlakon dalam siri Family Spy, heroin dia memang berusia. Jadi, dalam perkara ini saya berasakan ia bergantung pada skrip dan watak,” katanya.

Selain menganggap ia rezeki, Che Ta berasakan komitmen dan disiplin yang diterapkan dalam dirinya antara faktor namanya kekal relevan sehingga sekarang.

Maka, tidak hairanlah jika baru-baru ini Che Ta terbabit dalam tiga drama sekali gus.

“Alhamdulillah, saya dapat buat drama Dayang Senandung, Kebaya Kasut Kanvas dan Juliet. Kebetulan dua drama dari syarikat produksi sama. Sepatutnya satu bulan satu ‘job’, tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua kena tunda. Selepas boleh kembali menjalani penggambaran, semua bagi tarikh serentak. Jadi, saya minta mereka uruskan tarikh.

“Selepas habis semua drama itu pun, saya mendapat tawaran lain juga. Tapi, saya tolak sebab watak sama dan pernah bawa sebelum ini. Saya ini kalau tengok ada watak menarik dan lain sikit baru saya buat.

“Berlakon secara ‘back to back’ memang penat sikit, tapi sebab ada pengalaman jadi dapat bezakan watak setiap drama. Masuk set dah boleh tukar watak. Tidak ada masalah untuk saya,” katanya yang kini terbabit dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta untuk tayangan slot Lestary di TV3.

Semuanya okey

Pengalaman dimiliki menjadikan Che Ta lebih matang dalam berkarya. Malah, dia lebih mudah untuk mencipta keserasian dengan mana-mana pelakon yang bergandingan dengan dirinya.

Menurut Che Ta, dia okey jika bergandingan dengan pelakon baharu atau pelakon yang sudah pernah bekerjasama dengannya sebelum ini.

“Soal pasangan dalam drama, saya okey saja. Sebab kadang-kadang tak pernah berlakon dengan orang itu, jadi nak berlakon dengan orang itu. Kalau dah pernah berlakon dan jumpa balik, seronok sebab dapat bekerjasama semula, jadi tak ada masalah.

“Kalau ada yang jenis memilih pasangan, bagi saya itu mungkin dia nampak untuk kebaikan diri. Kadang-kadang kalau dapat pasangan yang betul akan naik, kalau tak betul akan sangkut di situ. Kalau berasakan itu bagus untuk masa depan dia, apa salahnya. Dia ada hak untuk memilih,” katanya.

Begitu juga dengan stesen TV, Che Ta berkata, dia terbuka selagi tawaran yang diterima itu sesuai dengan dirinya.

“Saya okey saja dengan mana-mana stesen TV. Cuma saya tak suka menunggu lama di lokasi. Saya jenis datang set dah siap dan terus nak ‘shooting’ saja, walaupun ada ketika kena menunggu juga.

“Dalam masa sama, saya juga akan tengok produksi dan pengarah. Kalau pengarah ‘best’ keseluruhan set akan ‘best’, begitu juga sebaliknya,” katanya.