Che Tam dah ceria, tak menangis lagi

SEEKOR kerbau balau atau albino jantan berusia tiga tahun akan menjadi haiwan kesayangan baru Afina Aqila, 6, atau Che Tam bagi menggantikan Atan yang hilang dipercayai dicuri pada 25 April lalu.

Bapa Che Tam, Azman Umar, 29, berkata, walaupun baru empat hari dibeli namun kemesraan Che Tam dengan kerbau albino itu yang juga diberi nama Atan dapat dilihat.

“Anak saya mula dapat menerima kehadiran kerbau terbabit walaupun berbeza dari segi warna, saiz dan jantina. Buat masa ini saya tidak membenarkan anak saya bermain dengan Atan tanpa pengawasan saya kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Kisah Atan pernah disiarkan akhbar ini tahun lalu susulan ia dikatakan sebagai kerbau kesayangan malah umpama teman rapat Che Tam yang juga anak tunggal Azman.

Bagaimanapun 25 April lalu Atan dan dua lagi kerbau peliharaannya hilang hingga memaksa Azman yang menetap di Felda Lepar Hilir Dua menawarkan ganjaran RM1,000 kepada individu yang dapat mengesan dan menjumpai kerbau betina (Atan) yang sedang bunting itu.

Azman berkata, kehilangan Atan menyebabkan Che Tam berterusan menangis dan tidak mahu makan kerana terlalu rindukan haiwan kesayangannya itu yang menjadi miliknya sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan bagi mendapatkan Atan semula namun tidak berhasil hingga memaksa dia mengambil keputusan membeli seekor kerbau baru bagi menggantikan Atan.

AZMAN bersama Che Tam yang semakin ceria selepas mendapat kerbau yang diberi nama Atan menggantikan kerbau yang hilang. FOTO Mohd Rafi Mamat
AZMAN bersama Che Tam yang semakin ceria selepas mendapat kerbau yang diberi nama Atan menggantikan kerbau yang hilang. FOTO Mohd Rafi Mamat

Katanya, dia dan isteri, Nurul Nadia Ahmad, 26, mengambil keputusan membeli kerbau balau berusia tiga tahun milik penternak di Felda Jengka 18, Maran dengan harga RM5,700.

“Saya bersyukur Che Tam sudah mula dapat menerima Atan, walaupun kemesraan mereka berdua masih belum dapat dilihat namun saya yakin dalam masa tiga hingga enam bulan akan datang Che Tam dan Atan menjadi sahabat baik.

“Saiz Atan lebih besar dengan berat dianggarkan 350 hingga 400 kilogram (kg), walaupun kelihatan lebih ganas namun saya yakin haiwan berkenaan akan manja dan jinak dengan Che Tam termasuk kami sekeluarga tidak lama lagi.

“Faktor usia Atan akan melambatkan proses kemesraan, Atan yang sebelum ini kami bela sejak kecil menyebabkan dia mudah jinak terutama dengan Che Tam yang boleh menunggangnya setiap hari,” katanya, hari ini.

Azman berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Harian Metro yang turut sama membantu mengesan Atan sebaik saja haiwan berkenaan hilang dipercayai di curi pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu bagi Nurul Nadia, keadaan Che Tam kini kembali normal berbanding sebelum ini apabila setiap hari dia menangis dan tidak mahu makan selepas mengetahui Atan hilang.

“Saya bersyukur Che Tam kini sudah kembali ceria, dia sudah mula faham dan menerima kehadiran Atan walaupun masih tidak lagi mesra.

“Saya dan suami tidak benarkan Che Tam menghampiri Atan, kami akan awasi sekiranya dia ingin memegang haiwan terbabit,” katanya.

Berita berkaitan

• RM1,000 siapa jumpa Atan, Che Tam tak henti nangis [METROTV]

• Comelnya Afina bermain dengan kerbau [METROTV]