Chong Wei anggap Noor Hisham wira

“KETIKA ini di mana rakyat dalam keadaan gelisah dan bimbang, kelihatan wajah seorang wira di televisyen setiap jam 5 petang amat mengamankan.

“Dia bukan Melayu, dia bukan Cina, dia bukan India, bukan Kadazan Dusun bukan Iban.

“Dia adalah rakyat Malaysia. Dia wira Malaysia. Dialah ketua komander kita dalam perang lawan virus. Dialah Dr Noor Hisham Abdullah.

“Selamat ulang tahun Dr. Semoga sihat dan panjang umur. Kami rakyat Malaysia menyayangi anda dan akan mengikut apa saja arahan anda,” kata Datuk Lee Chong Wei.

Facebook LCW.
Facebook LCW.

Pemain yang pernah bergelar pemain nombor satu dunia dan negara itu, menzahirkan penghargaannya terhadap pengorbanan Noor Hisham dalam status yang dimuat naikkan oleh Chef de Misson (CDM) negara ke Sukan Olimpik itu dalam laman sosial Facebooknya.

Bagi Chong Wei, Noor Hisham adalah individu paling istimewa di mata rakyat Malaysia dalam membantu negara melawan pandemik Covid-19 sehingga diiktiraf sebagai tiga doktor terbaik dunia dalam menangani wabak itu.

Dalam status berkenaan juga, Chong Wei berkata, beliau akan meminta 500 peminat badminton negara untuk mengucapkan selamat ulang tahun kepada beliau.

Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang Covid-19 selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Ashley Bloomfield.

Ketiga-tiga mereka dipuji kerana sejak beberapa minggu lalu mengetengahkan penampilan tenang, jelas dan meyakinkan bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pandemik itu.