Coretan FB petanda tragedi

Louisville: Sempat meluahkan kekecewaan masalah rumah tangga dialaminya dalam satu hantaran di Facebook (FB).

Itu coretan akhir seorang lelaki di Kentucky, Amerika Syarikat (AS) yang membunuh isteri dan dua anak mereka sebelum menembak mati dirinya sendiri.

Dalam hantaran dimuat naik beberapa jam sebelum tragedi itu, Kyle Milliken, 41, mendakwa isterinya, Ashley, 35, curang, tetapi menyifatkan dua anak lelakinya, Kycohn, 8, dan Kjae, 13, adalah segala-galanya.

“Wanita boleh datang dan pergi. Jika dia tidak bahagia, kamu tidak mungkin dapat membahagiakannya!

“Terlalu banyak masa dihabiskan, tetapi ketika kamu memilih seseorang dan bersamanya selama bertahun-tahun dan dia masih mengkhianati kamu, apa yang kamu lakukan?

“Saya sayangkan anak saya sepenuh hati saya. Segala yang saya lakukan adalah demi memastikan mereka mendapat kehidupan lebih baik daripada saya,” katanya seperti dipetik Daily Mirror.

Dalam kejadian Ahad lalu, mayat empat beranak itu ditemui di rumah mereka di Mayfield beberapa jam selepas lelaki itu berkongsi kekecewaannya selepas mendakwa isterinya curang.

Polis yang tiba di lokasi kejadian jam 8.25 pagi selepas mendengar laporan bunyi tembakan sebelum mengesahkan kematian keluarga terbabit.

Polis Kentucky berkata, mereka tidak menemui suspek lain yang boleh dikaitkan dengan kematian empat beranak itu dan percaya hantaran terakhir Milliken dalam FB menerangkan punca kejadian tragik itu.

Paderi Chad Lamb yang rapat dengan keluarga itu berkata, kedua-dua pasangan itu datang dari keluarga yang sangat dihormati.

“Komuniti kami berduka dengan kejadian ini,” katanya.

Malah, rakan mereka turut berkongsi kesedihan atas kejadian menimpa keluarga itu.