Covid-19: 1 kematian, 69 kes baharu hari ini

SATU kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 103 kes.

Mengenai bilangan kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 69 kes dilaporkan hari ini, mencatatkan 6,071 kes keseluruhan dalam negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes baharu itu membabitkan kes import, manakala 57 kes lagi membabitkan penularan dalam komuniti.

Katanya, seramai 37 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 14 pesakit menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Bilangan pesakit yang telah sembuh terus bertambah. Terbaru, seramai 39 orang telah sembuh.

“Ini menjadikan 4,210 pesakit telah sembuh dan discaj hospital dengan kadar kesembuhan 69.3 peratus.

“Kes aktif (positif Covid-19) kebolehjangkitan seramai 1,758 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Berikut laporan terperinci kematian akibat Covid-19 dalam negara hari ini;

1) Kes kematian ke-103 (kes ke-5,441)

• Lelaki warga Malaysia berusia 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah.

• Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (iaitu kes ke-4,818).

• Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 14 April dan disahkan meninggal dunia pada 30 April, 4.00 petang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19