Covid-19: 1 kes kematian baharu dicatatkan

MALAYSIA kembali mencatatkan kes kematian pesakit Covid-19 selepas tiada sebarang kematian akibat pandemik itu sejak 31 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menerima laporan satu kes kematian hari ini membabitkan rakyat Malaysia berusia 75 tahun.

Menurutnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kerana Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 126 kes atau 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan di negara ini.

“Kes kematian ke-126 (kes ke-9290) itu mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, chronic obstructive pulmonary disease (COPD) dan penyakit jantung.

“Mangsa tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mula mempunyai gejala batuk dan sesak nafas pada 7 Ogos lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah bagi jangkitan paru-paru (pneumonia),” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit itu kemudiannya discaj daripada hospital pada 18 Ogos lalu.

“Beliau mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 21 Ogos dan kembali mendapatkan rawatan pada 24 Ogos di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Ujian saringan menunjukkannya positif Covid-19. Keadaan kesihatannya didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 29 Ogos (semalam), 5.10 petang.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19