Covid-19: 105 kes baharu, tiada kematian hari ini [METROTV]

TIADA kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 103 kes.

Mengenai bilangan kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 105 kes dilaporkan hari ini, mencatatkan 6,176 kes keseluruhan dalam negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes baharu membabitkan kes import, manakala 94 kes lagi berkaitan penularan dalam komuniti yang mana 60 kes dikesan daripada lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, seramai 31 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 12 pesakit menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Bilangan pesakit yang telah sembuh terus bertambah. Terbaru, seramai 116 orang telah sembuh.

“Ini menjadikan 4,326 pesakit telah sembuh dan discaj hospital dengan kadar kesembuhan 70 peratus.

“Kes aktif (positif Covid-19) kebolehjangkitan seramai 1,747 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19