Covid-19: 11 kes baharu, 5 Kluster Tawar [METROTV]

JANGKITAN Covid-19 dalam negara merekodkan 11 kes baharu, hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,285 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 11 kes baharu itu membabitkan sembilan kes penularan dalam negara dan dua kes import.

Beliau berkata, semua sembilan kes baharu penularan dalam negara itu dilaporkan adalah membabitkan warganegara.

“Kedah tujuh kes di laporkan hari ini, lima daripadanya Kluster Tawar, satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan satu lagi kes saringan bergejala.

“Manakala di Selangor dan Perlis masing-masing merekodkan satu kes,” katanya dalam kenyataan media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, dua kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.

“Dua kes import itu masing-masing dari Filipina dan Indonesia,” katanya.

TAN SRI Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP
TAN SRI Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 189 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

Noor Hisham berkata, terdapat enam kes yang pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 8,971 kes.

Katanya, lapan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tambahnya, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 125 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19